Sunday, December 2, 2012

PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2012

Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2012) berakhir semalam. Saya telah memberikan komentar mengenai PAU 2012 di tv1 dan Astro Awani. Berikut ialah sebahagian pandangan saya mengenai PAU 2012:

Memahami UMNO Sebagai Parti Orang Melayu

UMNO ialah sebuah parti massa. UMNO bukanlah sebuah parti berasaskan ideologi seperti PAS atau PKR. Sejarah UMNO menunjukkan ia ditubuhkan oleh Kongres Melayu pertama pada Mac 1946. Matlamatnya hanya satu, iaitu mengumpulkan orang Melayu di atas satu wadah. Maka, sebagai sebuah parti massa, UMNO menampung pelbagai jenis manusia. Dari segi konsepnya, UMNO ditubuhkan untuk meraikan pelbagai suara dan aspirasi perjuangan orang Melayu. Saya sebutkan konsep UMNO sebagai sebuah parti massa dan hal yang sama juga disebutkan oleh Presiden UMNO apabila beliau membuat ucapan penggulungan di PAU 2012.

Apabila parti-parti politik yang didominasikan Melayu seperti PAS ditubuhkan, maka semangat Kongres Melayu 1946 yang inginkan UMNO menjadi wadah penyatu orang Melayu dilihat sebagai tercabar. Maka, atas semangat itulah, maka sebahagian pemimpin dan ahli-ahli UMNO menyeru kepada perpaduan Melayu. Dalam wawancara di tv1 menjelang Ucapan Dasar Presiden UMNO di PAU 2012, saya sebutkan bahawa penyatuan tidak harus berlaku dalam organisasi semata-mata. Malah, saya fikir penyatuan yang lebih penting ialah penyatuan fikrah. Hal yang sama saya sebutkan di Astro Awani. Maksudnya, orang Melayu harus mencari titik pertemuan dalam banyak isu dan meraikan perbezaan pendapat dalam isu-isu tertentu. Sebaiknya, banyak titik pertemuan berbanding perbezaan.

Dalam beberapa wawancara di media massa, saya pernah sebutkan bahawa saya tak setuju untuk parti-parti politik Melayu bergabung. Mengenali politik Malaysia, saya berpendapat apa yang diperlukan ialah parti-parti politik Melayu harus menjadi kuat, bukan menjadi satu. Tidak berada dalam parti tunggal bukan bererti UMNO dan PAS tidak boleh kuat. Dalam konteks UMNO, saya lihat parti itu masih kuat walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran. Aktiviti parti pelbagai peringkat berjalan seperti biasa. Dalam PAU 2012 ini pun, PWTC penuh sesak dengan ahli-ahli dan penyokong parti - tidak ada beza dengan PAU sebelum ini.

Dalam PAU 2012, pembahas telah menampilkan UMNO sebagai sebuah parti yang memperjuangkan semua rakyat, termasuklah yang bukan Melayu. Mereka mengelakkan kesilapan PAU 2007 yang menampilkan UMNO sebagai sebuah parti Melayu semata-mata. Kesilapan besar itu membuka ruang kepada lawan untuk mengambil kesempatan dan ini menyebabkan UMNO mengalami "setback" dalam pilihanraya umum 2008.

Secara jujur saya menyebut bahawa pembahas dalam PAU 2007 jahil mengenai UMNO dan perjuangan parti itu. Malah, sekiranya dihayati lagu UMNO, jelas disebutkan "UMNO terus mara untuk rakyat Malaysia ..." Walaupun UMNO merupakan sebuah parti Melayu, ia juga menerima kemasukan ahli-ahli bukan Melayu. Bilangan orang bukan Melayu dalam UMNO jauh lebih ramai dari bukan Melayu dalam PAS atau bilangan orang Melayu dalam DAP - dua buah parti yang memposisikan sebagai perjuangan untuk semua!

Ucapan Dasar, Perbahasan dan Penggulungan

Ahli dan penyokong parti membanjiri PWTC untuk mengikuti Perhimpunan Agung UMNO. Ribuan yang tidak berpeluang masuk ke Dewan Merdeka mengikuti perbahasan di ruang legar.



Saya mengikuti keseluruhan ucapan dasar dan penggulungan oleh Presiden UMNO, Dato' Seri Najib Tun Razak, dan ucapan perasmian Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri. Saya juga mengikuti ketiga-tiga ucapan penggulungan oleh Naib-naib Presiden UMNO.

Ucapan Dasar Presiden UMNO mempunyai tema dan struktur yang jelas. Ia berpaksikan kepada tiga perkara iaitu (1) mempersiapkan minda juang pemimpin dan ahli-ahli parti untuk menghadapi pilihanraya, (2) menampilkan kisah-kisah kejayaan (success stories) kerajaan yang ditunjangi UMNO, dan (3) menyerang lawan. Ketiga-tiga elemen ini ditampilkan secara seimbang dan saya fikir teks ucapan beliau disediakan dengan baik.

Bagaimanapun, daripada lebih 60 para teks ucapan Timbalan Presiden UMNO ketika merasmikan Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri, sebanyak dua pertiga menyerang pembangkang. Adalah lebih baik sekiranya ucapan itu menonjolkan dan mengiktiraf sumbangan dan program ketiga-tiga sayap parti itu untuk "melakar kemenangan" (tema ucapan tersebut). Pendekatan ini tentunya dapat menyemarakkan semangat dan memberi aspirasi perjuangan kepada pendengar. Banyak program Wanita, Pemuda dan Puteri yang sewajarnya mendapat pengiktirafan. Adakah UMNO ingin menang dengan hanya menyerang lawan, tanpa menonjolkan kehebatan sendiri?

Sefaham saya, ucapan penggulungan seharusnya memberikan respon kepada perkara-perkara yang dibangkitkan oleh pembahas. Saya lihat Presiden UMNO faham perkara ini dan memberikan respon kepada beberapa pandangan dan kritikan pembahas. Pengumuman mengenai kenaikan had pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dari RM50,000 kepada RM100,000, pengubalan / pindaan akta dan peraturan untuk orang bankrap dan penubuhan akademi politik adalah merupakan antara reaksi beliau.

Bagaimanapun, ada di antara ucapan penggulungan yang langsung tidak menyentuh perkara-perkara yang disebutkan perwakilan. Mereka berucap apa yang mereka ingin bercakap. Selepas berakhir PAU 2012, beberapa orang perwakilan memberitahu saya, banyak cadangan di dalam Dewan Merdeka tidak mendapat respon sewaktu ucapan penggulungan. Saya tidak mengatakan pemimpin UMNO tak ambil kisah dengan cadangan-cadangan tersebut. Apa yang saya harapkan ialah pemimpin UMNO seharus mengambil kesempatan sewaktu ucapan penggulungan untuk "engage" dengan ahli-ahli parti dalam isu-isu yang mereka bangkitkan itu.

Menghadapi Pilihanraya

Ada beberapa perkara di PAU 2012 yang wajar diberikan pujian.

Pertama, pembahas memahami aspirasi perjuangan parti. Perjuangan UMNO digarap dalam kerangka perjuangan yang lebih besar, iaitu untuk rakyat Malaysia. Mereka tidak lagi bercakap seolah-olah perjuangan UMNO sebagai sesuatu yang terpisah. Perubahan perbahasan ini adalah sesuatu yang bagus.

Kedua, perbahasan lebih bersifat spesifik. Walaupun sesekali masih ada "ampu sana, ampu sini" umumnya saya perhatikan pembahas memberikan pandangan konstruktif dalam banyak hal. Mereka mula sedar bahawa insiatif demi inisiatif yang diperkenalkan oleh agensi-agensi kerajaan adalah hasil dasar parti memerintah, iaitu Barisan Nasional yang ditunjangi UMNO. Pembahas memberikan pengiktirafan kepada inisiatif-insiatif ini dan mengemukakan cadangan penambahbaikan. Ini juga bagus, dan ia jauh berbeza dengan nada menyerang agensi kerajaan seperti PAU sebelum ini.

Ketiga, pembahas mampu memahami tiga paksi utama ucapan PAU ini iaitu (1) mempersiapkan minda juang pemimpin dan ahli-ahli parti untuk menghadapi pilihanraya, (2) menampilkan kisah-kisah kejayaan (success stories) kerajaan yang ditunjangi UMNO, dan (3) menyerang lawan. Kesemua pembahas menggunakan struktur ini dalam perbahasan mereka. Cara penyampaian berbeza, namun mesejnya sama.

Melihat dari sisi ini, UMNO kelihatan lebih tersusun - paling tidak sewaktu wakil negeri dan sayap parti berucap di Dewan Merdeka. Mereka tidak lagi menembak sesama sendiri menyebabkan ada yang "mati syahid" di medan tempur!

Sejak 2008, UMNO kelihatan berada dalam keadaan defensif. Ia banyak menjawab, dari menyerang. Bagaimanapun, dalam PAU 2012 UMNO mula menyerang dengan agresif. Dari sudut ini, saya melihat PAU 2012 berjaya meyakinkan pemimpin dan ahli-ahli parti bahawa mereka di landasan yang betul. Persoalannya ialah, bagaimanakah keyakinan ini hendak diterjemahkan dan disampaikan kepada pemimpin akar umbi dan ahli-ahli parti yang lain.

Sementara saya mengkritik beberapa hal, saya melihat banyak perkara positif berlaku dalam PAU 2012. Perhimpunan ini adalah kemuncak kepada beberapa siri program latihan untuk pemimpin dan ahli-ahli parti yang telah berjalan di seluruh negara sejak beberapa tahun lalu.

PAU 2012 meletakkan pemimpin dan ahli-ahli parti itu di landasan yang sama, dan mereka kini mengaum untuk menghadapi PRU13.

Dan, sekiranya PAU 2012 telah membangkitkan singa yang tidur, adakah pilihanraya umum akan diadakan dalam jangka masa terdekat?