Isnin lepas, saya terima SMS dari seorang sahabat. Katanya, hari ini ada pembentangan "BuyJet 2013."
Saya termenung sebentar, cuba untuk memahami mesej di sebalik SMS tersebut. Seketika kemudian, saya senyum kambing apabila mendapat maksud SMS tersebut.
Dari satu sudut, SMS tersebut bagus kerana ia memperlihatkan masyarakat mempunyai "sense of humour" dan politik bukan lagi menjadi sesuatu yang tertekan.
Bagaimanapun, dari sudut yang lain SMS tersebut menggambarkan masyarakat kita belum sedia untuk berbincang soal kenegaraan dengan cara yang serious.
Saya mengesani hal ini apabila mengikuti diskusi #bajet2013 di Twitter. Saya dapati sekurang-kurangnya ada empat kelompok diskusi di sana.
Kelompok pertama, ialah mereka yang menjadikan politik dan isu-isu politik sebagai bahan jenaka. Kedua, ialah mereka yang menghentam apa saja cadangan lawan. Betul atau salah ditentukan oleh garisan kepartian. Sekiranya ini bukan asabiyyah, apakah maksud asabiyyah?
Ketiga, ialah mereka yang bercakap soal bajet namun memfokuskan kepada perkara-perkara ringan. Dan, keempat ialah mereka yang bercakap hal-hal "berat" dan substance dalam bajet.
Kelompok keempat tidak ramai. Ada, tetapi tak ramai di Twitter. Kelompok ketiga iaitu mereka yang bercakap soal-soal ringan dalam bajet memang ramai.
Mereka berbahas soal bonus penjawat awam, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk orang bujang dan diskaun RM200 untuk membeli telefon pintar. Rata-rata, itulah isu yang popular di Twitter. Mungkin isu ini mudah difahami dan tidak memerlukan mereka berfikir keras.
Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak sebenarnya lebih dari itu. Banyak persoalan yang boleh dikemukakan kepada kerajaan sama ada dalam bentuk cadangan atau kritikan membina.
Najib mengumumkan peruntukan RM3 bilion untuk perlaksanaan projek permulaan (EPP) bagi projek-projek pertanian, "River of Life" (pengindahan Sungai Klang) dan penggantian rangkaian paip dan baik pulih pembentungan.
Sedar atau tidak, bilangan Bumiputera yang terlibat dalam EPP adalah terlalu rendah. Ada, tetapi sedikit. Mungkin disebabkan mereka tidak mempunyai kapasiti atau skala yang diperlukan bagi melaksanakan projek-projek tersebut.
Persoalannya ialah apakah langkah yang boleh dilakukan bagi menentukan mereka turut terlibat dalam projek-projek ini? Adakah kerajaan boleh melakukan "carve out" seperti yang dilakukan dalam projek MRT yang menyaksikan 47% nilai projek diberikan kepada Bumiputera? Atau, kita ada cadangan lain yang lebih efektif dan praktikal?
Bagi mencergaskan pasaran modal dan kewangan, Najib mengumumkan rangka kerja terbitan sukuk runcit. Ini bermaksud individu boleh memiliki sukuk dan hakikat bahawa 71% atau RM171 bilion terbitan sukuk global adalah diterajui oleh Malaysia merupakan satu pencapaian yang bagus. Malang, saya tidak melihat diskusi ini di Twitter. Adakah kita masih jahil apakah sukuk? Sebut betul-betul, "sukuk" bukan "songkok" ye!
Dalam Bajet 2013 juga, Perdana Menteri umumkan Dana Pembiayaan Bumiputera bernilai RM1 bilion di SME Bank. Dana ini membolehkan usahawan Bumiputera membiayai pembelian aset bukan teras (non-core assets) GLC.
Sementara kita mengalu-alukan inisiatif ini, maka elok kita bertanya bagaimanakah GLC mentakrifkan aset bukan teras dan bagaimanakah untuk memastikan aset GLC yang ditawarkan kepada Bumiputera bukannya seperti "junk sales"? OKlah, "junk sales" agak keras. Kita gunakan istilah "garage sales" boleh?
Dalam soal pendidikan, Najib mengumumkan tabung khas RM1 bilion untuk pembinaan penambahbaikan dan penyelenggaraan sekolah. Daripada jumlah ini, RM400 juta diperuntukkan kepada Sekolah Kebangsaan, manakala selebihnya diagihkan kepada SJKC, SJKT, sekolah agama, sekolah mubaligh dan MRSM.
Sementara kita mengalu-alukan peruntukan itu, saya fikir elok sekiranya kerajaan memperuntukkan RM100 juta (sama seperti lain-lain kategori sekolah) kepada sekolah-sekolah pedalaman. Keadaan sekolah-sekolah ini adalah daif sekiranya dibandingkan dengan sekolah-sekolah lain.
Penubuhan Young Enterpreneur Fund adalah bagus. Ia memberikan satu lagi sumber pembiayaan kepada usahawan belia dengan had pinjaman RM100,000. Bagaimanapun, oleh kerana ia akan disalurkan melalui institusi kewangan, generasi muda harus bertanya adakah bank-bank ini memahami aspirasi mereka.
Anak muda yang pertama kali memulakan perniagaan menghadapi risiko yang tinggi untuk gagal. Maka, apakah peranan yang akan dimainkan oleh institusi-institusi ini untuk meminimakan impak kesan kegagalan tersebut. Adakah bank akan memainkan peranan sama seperti pinjaman komersil lain, atau adakah mereka juga akan menjadi organisasi pembangunan usahawan (enterpreneur development organization)? Mungkin kita boleh bertanya adakah bank merupakan saluran terbaik untuk dana anak muda ini?
Saya melihat Rural Transformation Center (RTC) dan Urban Transformation Center (UTC) sebagai satu inisiatif yang baik dan perlu disokong. Inisiatif ini meletakkan perkhidmatan kerajaan di bawah satu bumbung.
Bagaimanapun saya fikir RTC dan UTC ini harus mengambil satu lagi langkah ke hadapan. Saya pernah menulis dalam blog ini dulu betapa kesemua agensi kerajaan yang menawarkan jaringan keselamatan sosial (contoh: Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Lembaga Zakat) harus ditempatkan di bawah satu bumbung bagi memudahkan rakyat terutama dari golongan berpendapatan rendah.
Hari ini, golongan ini seperti bola ditendang dari satu agensi ke satu agensi lain. Oleh kerana sebahagian besar mereka (terutama yang tinggal di luar bandar, miskin dan tua) sukar untuk pergi dari satu bangunan ke satu bangunan yang lain, maka akses mereka kepada sistem jaringan keselamatan sosial yang disediakan terbatas.
Kesemua yang saya sebutkan ini adalah contoh perkara-perkara dalam Bejet 2013 yang memberikan impak kepada rakyat. Malah, saya fikir ia memberikan impak yang lebih besar berbanding bonus penjawat awam, BR1M untuk orang bujang atau diskaun RM200 untuk membeli telefon pintar.
Malangnya, masyarakat tidak berminat untuk berbahas isu-isu penting ini di media sosial.
Apabila isu-isu ini tidak dibahaskan dan difahami, maka kita hanya menjadi penonton.
Orang bersorak, kita bersorak.
Orang terjun laut, kita ikut terjun laut.
Orang lain meraih manfaat dari Bajet 2013, kita hanya bersorak "BuyJet! BuyJet! BuyJet!"
.jpg)