Wednesday, July 4, 2012

APABILA TUNGGUL DISANGKA HANTU

Beberapa hari lalu saya sempat berbual dengan seorang penjawat awan. Dia seorang pegawai kanan di sebuah agensi kerajaan persekutuan.

Kami berbicara banyak hal, termasuklah isu-isu politik. Di celah-celah kerancakan berbual itu, dia lahirkan kekecewaan. Katanya, dia tak faham mengapakah ada aktivis parti yang melabelkan kakitangan kerajaan yang mengkritik beberapa dasar atau keputusan pemerintah dilabel sebagai pro-pembangkang.

"Adakah dalam politik kita hanya ada kerajaan dan pembangkang sehingga penjawat awam seperti kami tidak ada suara?" soal beliau.

Tambahnya lagi, "Mengapakah orang politik tidak boleh menilai merit sesuatu hujah tanpa perlu memberikan label pro-kerajaan atau pro-pembangkang?"

"Bukankah Dato' Seri Najib sebutkan bahawa era kerajaan tahu semuanya sudah berakhir?" tanya beliau lagi.

Katanya, "Sebagai penjawat awam, kami akan laksanakan semua dasar dan keputusan kerajaan. Bagaimanapun, sebagai rakyat kami juga inginkan suara kami didengari. Apabila penjawat awam berbeza pendapat dengan pemimpin politik, mengapakah itu ditafsirkan sebagai menentang kerajaan?"

Saya termenung seketika mendengar soalan beliau. Saya ada jawapan, cuma saya ingin melihat soalan-soalan beliau dari perspektif yang betul.

Satu perkara yang pasti, ledakan internet memberikan suara kepada rakyat. Dulu, kita bercakap politik dalam kelompok kecil, hari ini kita berdiskusi secara terbuka dengan khalayak yang lebih besar, termasuklah mereka yang tidak dikenali.

Pada tahun 2000, terdapat hanya 3.7 juta pengguna internet. Sekarang, ia meledak kepada lebih 18 juta orang. Kalau dulu kita menggunakan "desktop," hari ini "laptop" pun dianggap ketinggalan zaman. Ramai orang mengakses media sosial seperti blog, Twitter dan Facebook melalui "smartphones."

Perubahan ini memberikan kesan kepada ramai orang, termasuklah penjawat awam. Seperti orang lain, mereka juga berdiskusi politik di media sosial secara terbuka. Sebahagian pandangan ini mungkin tidak serasi dengan kerajaan.

Ini bukan bermaksud saya mengatakan tidak ada penjawat awam yang menjadi aktivis pembangkang. Mustahil kalau tak ada. Apa yang ingin saya sebutkan ialah usahlah terlalu cepat melabel mereka yang mengkritik kerajaan sebagai pro-pembangkang.

Dalam suasana politik yang berubah, kita tidak lagi boleh menggunakan kaedah lama. Pengurusan harapan rakyat, termasuklah penjawat awam juga harus bertukar mengikut masa.

Apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri untuk "engage" dengan penjawat awam adalah sesuatu yang betul. Bagaimanapun, tanggungjawab itu tidak seharusnya digalas oleh beliau seorang saja. Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Politik hendaklah melakukan "engagement" yang lebih mendalam dengan penjawat awam.

Tanggapan bahawa penjawat awam harus melaksanakan semua keputusan kerajaan adalah betul. Bagaimanapun, itu bukan bermaksud mereka tidak boleh mempunyai pandangan sendiri dalam isu-isu tertentu.

Kebimbangan saya ialah apabila penjawat awam dilabel sebagai pro-pembangkang, mereka akan mempunyai persepsi bahawa parti pemerintah sudah menolak mereka. Dengan sedikit "tarikan" lawan yang bercakap soal ketelusan dan keterbukaan, mereka akan lebih terdorong untuk menyeberang ke sana dalam PRU13.

Dari satu sudut yang lain, saya melihat sesetengah aktivis parti sudah terperangkap dengan permainan lawan. Apabila mereka melaung-laungkan "ramai kakitangan kerajaan menyokong pembangkang," mereka sebenarnya membawa propaganda lawan bahawa pembangkang ada di mana-mana dan sudah menjadi semakin kuat.

Malah, ia juga mungkin dilihat sebagai sesuatu yang "trendy" untuk mengkritik kerajaan dan menjadi pro-pembangkang. Inilah perangkap minda yang dipasang dan ramai aktivis parti termakan jerat.

Seperti yang sering saya sebutkan, politik sudah menjadi semakin canggih. Ia bukan sekadar seni, tetapi juga sains (dan teknologi!) dengan kemahiran tinggi. Pemasaran politik harus berasaskan strategi dan pemujukan bukan lagi boleh dilakukan dengan emosi semata-mata.

Aktivis parti harus berhenti menembak rambang dengan peluru kapur. Bukan apa, saya bimbang nanti habis peluru, terutama sekali apabila tembakan demi tembakan dihalakan kepada tunggul yang disangka hantu!