Malah, saya fikir kita terlalu banyak memberikan penekanan kepada kehebatan seseorang untuk membangkang lawan. Sebab itulah agaknya maka amat sukar untuk kita melihat kedua-dua belah pagar politik bersetuju dalam banyak hal.
Jawatankuasa Pilihan Parlimen (Parliament Select Committee) yang sepatutnya menjadi tempat untuk membentuk konsensus itu pun dipolitikkan sedemikian rupa. Paling tidak, itu yang dapat kita lihat dalam isu penambahbaikan pilihanraya.
Politik Malaysia masih bersifat "the winners take all." Siapa saja yang menang, dia ambil kesemuanya.
Kita seolah-olah lupa bahawa politik ialah sebahagian proses pengurusan (governance) negara. Kerajaan atau pembangkang mempunyai tanggungjawab yang sama; cuma mereka berada pada kedudukan yang berbeza. Namun, itulah yang dilupakan. Atau, sengaja dilupakan.
Lantaran itulah apa saja proses dalam demokrasi itu dilihat sebagai penuh pertentangan. Kita kurang mendengar pembangkang berbahas di Parlimen memuji inisiatif kerajaan. Begitu jugalah sebaliknya. Adakah dalam ribuan inisiatif kerajaan, tak ada yang boleh dipuji? Atau, mereka tak mahu memuji kerana itu memberikan kelebihan kepada parti lawan?
Ada di antara kita terlalu ghairah dengan debat antara politikus. Perdebatan sebenarnya bukan sekadar untuk memilih siapa menang atau kalah. Jauh sekali untuk menjadikan politikus sebagai ayam sabung atau kuda lumba.
Debat seharusnya menjadi medan untuk rakyat melihat apakah perbezaan dan apakah persamaan dalam hujah. Malangnya, itu tidak berlaku dalam suasana politik pertentangan yang diraikan di negara ini.
Mungkin saya adalah seorang yang cukup ideal untuk mengharapkan parti-parti politik dari kedua-dua belah pihak untuk menjadikan kemampuan bermuafakat dengan lawan itu sebagai salah satu ciri utama pemilihan calon PRU13.
Tak mengapalah. Dalam politik ada kala elok juga menjadi minoriti. Walaupun demokrasi merayakan majoriti, namun semua orang tahu bahawa majoriti tak semestinya betul!