Thursday, March 31, 2011

POLITIK PEMBANGUNAN: MENGAPA PENYOKONG BN APOLOGETIK?

Menjelang pilihanraya Sarawak, saya tertarik dengan polemik "politik pembangunan." Malah, pada setiap kali pilihanraya, ada beberapa pihak mengatakan "politik pembangunan" sudah tidak relevan lagi. Maka berkokoklah sesetengah pihak, lalu mencanangkan bahawa rakyat inginkan "politik governan."

Dari satu sudut, saya boleh bersetuju bahawa politik governan menjadi semakin penting. Rakyat hari ini ingin melihat kerajaan diuruskan secara bersih, telus dan amanah. Memahami harapan rakyat inilah agaknya maka Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak menyebut bahawa "pembangunan" dan "governan" adalah penting bagi rakyat dan kerajaan akan terus berusaha memenuhi harapan ini. Namun, ini tidak bermaksud "politik pembangunan" tidak penting.

Untuk sekian lama, Barisan Nasional membawa agenda "politik pembangunan," dan hasil dari agenda ini  menyaksikan peningkatan kedudukan negara dalam Human Development Index (HDI) atau "Indeks Pembangunan Insan" hasil "politik pembangunan" sejak negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Berdasarkan HDI 2010 yang dikeluarkan oleh United Nations Development Programme (UNDP), Malaysia kini berada dalam senarai "high human development countries" atau negara-negara pembangunan insan tinggi. Pada tahun 1980, indeks HDI bagi Malaysia ialah 0.541, meningkat kepada 0.691 pada tahun 2000 dan 0.739 dalam tempoh 10 tahun selepas itu. Dalam tempoh 1980 hingga 2010, kedudukan Malaysia meningkat sebanyak 19 tangga.


Rajah di atas (klik di sini untuk ke sumber asal) menunjukkan kedudukan Malaysia dalam HDI sejak 1980 sehingga 2010 adalah sentiasa di atas lain-lain negara Asia dan dunia secara keseluruhannya. Ini adalah hasil "politik pembangunan" dan kejayaan ini seharusnya diraikan.

Walau apa sekali pun yang dikatakan oleh pengkritik, satu perkara yang jelas ialah pencapaian ini adalah hasil "politik pembangunan" yang menunjangi Barisan Nasional. Sementara saya agak kritikal terhadap beberapa perkara yang dilakukan oleh BN, dalam hal ini saya fikir kita wajar memberikan kredit dan pengiktirafan kepada parti tersebut.

Sekiranya itulah keadaannya, maka mengapakah ada sesetengah penyokong BN yang bersifat apologetik apabila ada pengkritik yang mempersendakan "politik pembangunan?"

Wednesday, March 30, 2011

KAWASAN "PANAS" PILIHANRAYA SARAWAK

Malam tadi saya diminta oleh Astro Awani untuk menganalisis kawasan-kawasan pilihanraya yang dikatakan "panas" berdasarkan senarai yang dikeluarkan oleh SPR dan beberapa orang penyelidik lain. Apa yang saya dapati ialah sesebuah kawasan DUN dimasukkan ke dalam senarai tersebut apabila wujud salah satu atau lebih faktor-faktor berikut:

1. Faktor penambahan pengundi baru 

Daripada 71 buah DUN, sebanyak 22 kerusi mengalami jumlah penambahan pengundi yang melebihi 1,000 undi, sejak pilihanraya tahun 2006. Penganalisis meramalkan ini ialah kawasan tumpuan.

2. Faktor pemimpin PKR

Kawasan Ba'kalalan dimasukkan sebagai kawasan panas kerana Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian dijangka bertanding di kerusi ini. Sekiranya Baru Bian yang kalah tiga kali berturut-turut tewas sekali lagi, maka PKR boleh melupakan hasrat untuk bertapak di Sarawak.

3. Faktor PAS

Walaupun PAS diramalkan akan hanya bertanding lima kerusi, penganalisis politik meletakkan Beting Maro sebagai satu kawasan untuk diperhatikan. Sekiranya PAS yang tidak ada satu kerusi pun di Sarawak boleh menang satu kerusi, ia adalah petanda bahawa parti itu sudah mula menembusi negeri tersebut.

4. Faktor Ketua Menteri

Kawasan Baligian juga diletakkan oleh sesetengah penganalisis sebagai kawasan panas kerana Ketua Menteri Sarawak bertanding di sini. Penganalisis meramalkan serangan terhadap beliau akan bermula di kawasannya sendiri.

5. Faktor Sibu

Bawang Asan, Nangka dan Palawan dimasukkan sebagai kawasan panas kerana kawasan ini berada dalam Parlimen Sibu di mana DAP menang dengan majoriti tipis tidak lama dulu.

***

Selain dari faktor-faktor di atas, saya tidak melihat ada faktor-faktor lain yang boleh menjadikan sesuatu kawasan itu "panas."

Oh ya, kalau ada pun, ia mungkin merupakan faktor calon. Mungkin ada penyandang jawatan yang digugurkan atau seseorang bercita-cita besar ingin menjadi calon tetapi tidak terpilih akan "panas hati." 

Selain itu, pilihanraya Sarawak akan menjadi sekadar suam-suam kuku!

Monday, March 28, 2011

ULANG: MANSUHKAN KEMENTERIAN BELIA!

Dato' Shabery Cheek
Saya difahamkan dua dari tiga cadangan saya mengenai pembangunan belia Malaysia mendapat perhatian Menteri Belia (dan Sukan), Dato' Shabery Cheek. Dalam satu bengkel baru-baru ini, beliau berkata KBS sedang menggubal Dasar Belia Negara yang baru. Itu cadangan saya sekian lama. Dasar Belia Negara sedia ada bukan saja tidak diketahui oleh sebahagian besar pembuat dasar dan keputusan di negara ini, malah majoriti belia tidak pernah mendengar mengenainya. Kandungan Dasar Belia Negara yang dibuat lebih 20 tahun itu sudah lapuk.

Kedua, saya difahamkan Menteri Belia (dan Sukan) juga bercakap mengenai "Parlimen Belia" pada majlis yang sama -- iaitu cadangan yang pernah saya kemukakan di blog ini dan juga di Astro Awani. Saya berhujah bahawa konsep dan pendekatan Majlis Perundingan Belia Negara adalah usang dan perlu disegarkan dengan kaedah baru. Saya cadangkan Parlimen Belia bagi memberikan representasi menyeluruh kepada suara belia.

Bagaimanapun, Menteri Belia (dan Sukan) diam kepada cadangan untuk mansuhkan Kementerian Belia (dan Sukan). Saya fikir eloklah perkara ini ditimbangkan oleh Perdana Menteri dan buat perubahan ini selepas pilihanraya umum akan datang. Untuk manfaat pembaca yang tidak berkesempatan membaca tulisan saya sebelum ini, saya paparkan sekali lagi:

KBS: UBAH DASAR, BUKAN KOSMETIK
Sebagai bekas Setiausaha Agung dan Naib Presiden Majlis Belia Malaysia, saya mengalu-alukan hasrat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ingin melakukan perubahan ke atas Kementerian Belia dan Sukan. Saya amat berharap agar perubahan ini adalah sesuatu yang bersifat mendasar, dan bukannya perubahan kosmetik saja. Sebelum ini saya pernah mencadangkan beberapa perubahan yang difikirkan perlu. Dalam tulisan “Mansuhkan Kementerian Belia dan Wanita” pada 8 April 2009, saya berhujah:
Sebagai tambahan kepada apa yang saya tulis sebelum ini, biarlah saya menambah bahawa Kementerian Belia dan Kementerian Wanita elok juga dimansuhkan. Cadangan memansuhkan Kementerian Belia bukanlah sesuatu yang baru. Sewaktu menjadi Setiausaha Agung MBM, saya pernah menyarankan agar kementerian ini dimasuhkan.
Alasan saya ialah belia dan wanita adalah kelompok sasar yang bersifat cross-sectoral. Isu belia dan wanita ada dalam bidang pelajaran, pekerjaan, ekonomi, keusahawanan, pelancongan, sains dan teknologi, keselamatan dan lain-lain. Oleh itu, ia tidak wajar dilihat sebagai peranan Kementerian Belia atau Kementerian Wanita semata-mata.
Isu-isu tumpuan yang digariskan dalam World Programme of Action for Youth (WPAY) yang diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada tahun 1995 dan 2007 (WPAY+5) adalah bersifat cross-sectoral dan memerlukan penglibatan semua kementerian dan agensi kerajaan. Adalah tidak adil untuk membebankan satu kementerian sahaja iaitu Kementerian Belia untuk menangani kesemua isu-isu ini.
Di Filipina, tidak ada Kementerian Belia. Begitu juga di banyak negara lain. Kerajaan mewujudkan National Youth Commission atau Suruhanjaya Belia Kebangsaan yang diletakkan di bawah Pejabat Presiden. Hal yang sama ingin saya cadangkan di negara ini. Ia boleh diketuai oleh seorang Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif yang berumur bawah 40 tahun (mengikut Dasar Belia Negara). Ahli-ahli suruhanjaya ini juga boleh dilantik dari kalangan belia yang mewakili pelbagai bidang strategik seperti pendidikan, ekonomi, pekerjaan dan lain-lain.
Fungsi suruhanjaya ini ialah menentukan arahtuju, membuat dasar dan melakukan koordinasi program-program pembangunan belia melibatkan pelbagai kementerian, jabatan kerajaan, kerajaan-kerajaan negeri dan PBT. Suruhanjaya ini diletakkan dan bertanggungjawab secara langsung kepada Perdana Menteri. Struktur yang sama boleh digunapakai untuk wanita.
Saya fikir ini ialah salah satu pendekatan yang boleh digunakan oleh Najib dalam usaha melakukan perubahan dan meningkatkan kecekapan sistem penyampaian.
Sementara itu, dalam tulisan saya bertajuk, “Mantapkan Perjuangan Belia” pada 7 Januari 2010, saya menulis:
Selain itu, saya juga meminta kerajaan untuk menimbangkan cadangan saya terdahulu untuk menubuhkan Suruhanjaya Belia Kebangsaan (National Youth Commission) bagi menggantikan Kementerian Belia. Pengerusi dan anggota suruhanjaya ini hendaklah terdiri dari mereka di bawah usia 40 tahun agar selari dengan akta yang diwujudkan. Kalau pun ini tak dapat dilakukan, saya mencadangkan kepada Perdana Menteri akan melantikan menteri dan timbalan menteri di KBS bawah usia 40 tahun.
Saya kesal kerana saya pernah menulis surat kepada bekas Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta ada perwakilan belia bawah umur 40 tahun menduduki pelbagai suruhanjaya dan jawatankuasa peringkat kebangsaan, namun jawapan yang diterima mengecewakan. Sampai sekarang tidak ada anggota bawah umur 40 tahun dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia serta pelbagai suruhanjaya dan “advisory council” yang lain. Adakah anak muda kita tidak ada kemampuan?
Ketiga, akta ini juga menentukan bahawa pendaftaran pertubuhan belia dibuat di bawah Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY), dan bukannya Pendaftar Pertubuhan (ROS) seperti sebelumnya. Sewaktu perbincangan deraf akta, saya membantah penubuhan ROY. Alasan saya mudah, KBS hendaklah bertindak sebagai pembimbing, bukannya “polis” kepada pergerakan belia. Peranan KBS lebih bersifat “delevopmental”, bukannya “enforcement.” Pegawai-pegawai kanan KBS memberikan jaminan bahawa mereka memahami apa yang saya sebutkan dan itu jugalah aspirasi mereka. Kalau begitu, baguslah. Saya akan memerhatikan dan menentukan ia dilakukan dengan betul seperti dijanjikan.
Sebagai langkah awal, saya ingin mencadangkan agar KBS dan Jabatan Belia dan Sukan tidak mengadakan aktiviti secara langsung. Berikan tugasan dan peruntukan melaksanakan aktiviti ini seluruhnya kepada semua pertubuhan belia (peringkat kebangsaan, negeri, daerah atau kampung). Biar mereka semarakkan aktiviti. Tugas KBS ialah pantau dan tentukan aktiviti-aktiviti ini memenuhi spesifikasi yang dipersetujui bersama. Pegawai KBS usahlah berebut hendak menganjurkan aktiviti dengan persatuan belia. Cukup mainkan peranan sebagai pembimbing seperti yang disebutkan terdahulu.
Tentunya, sebagai orang di luar gelanggang, saya hanya dapat memberikan pandangan. Saya sudah melaksanakan apa yang patut dilakukan. Sekarang terserahlah kepada kepimpinan baru MBM untuk meneruskan agenda perjuangan.
Sekiranya mereka inginkan pandangan, saya katakan bahawa perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mengkaji semula Dasar Belia Negara dan Dasar Pembangunan Belia Negara yang sudah lebih 20 tahun diperkenalkan, tanpa kajian semula (review). Rancangan Malaysia pun dikaji lima tahun sekali, tetapi dasar belia masih tidak berubah.
Saya pernah menghantar SMS kepada Menteri Belia ketika itu dan jawapan yang saya terima ialah beliau sedang meneliti dasar tersebut. Menteri Belia itu pun sudah bertukar kementerian. Saya tak pasti adakah Menteri Belia yang baru juga sedang meneliti dasar tersebut dan berapa lama lagikah masa yang diperlukan untuk “meneliti.”
Apabila saya mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Belia supaya pembangunan belia bersifat cross-sectoral (merentasi sektor), ada orang marah kepada saya seolah-olah saya mencabar kemampuan Menteri Belia.
Ada juga yang bertanya, berapa banyak suruhanjaya nak ditubuhkan. Saya ingin bertanya, apakah masalahnya kita menubuhkan suruhanjaya? Kalau kita boleh menubuhkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat yang akan menguruskan pengangkutan awam darat (public land transport) yang kini diuruskan oleh pelbagai kementerian dan agensi, apakah susah sangat nak tubuhkan Suruhanjaya Belia?
Maaf cakap, pendekatan kita sekarang sudah lapuk. Struktur Kementerian Belia yang ada sekarang menjadikan isu-isu pembangunan belia sebagai hak ekslusifnya, sedangkan isu-isu pembangunan belia jauh lebih besar daripada apa yang ada di kementerian itu!

Monday, March 21, 2011

MAKNA PILIHANRAYA SARAWAK

Kuching - debar menunggu keputusan pilihanraya Sarawak

Hari yang dinanti-nanti sudah tiba. Hari ini, Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan. SPR akan mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian. Di antara sekarang sehingga hari pengundian, parti-parti politik dan penyokong mereka akan riuh-rendah dengan "funfair" pilihanraya.

Bagi sesetengah orang, pilihanraya adalah masa berpesta. Dari penamaan calon, sehinggalah kempen dan mengundi. Di tengah-tengah keriuhan itu nanti, adalah yang akan membuat ugutan saman dan laporan polis. Itulah pilihanraya yang dikenali oleh rakyat negara ini, dan di Sarawak juga begitu.

Pilihanraya kali ini memberikan makna yang berbeza kepada kelompok yang berbeza.

Bagi Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak, pilihanraya Sarawak mungkin memberikan "ilham" kepada beliau bilakah tarikh yang sesuai untuk mengadakan PRU13. Sekiranya BN menang besar, maka sekarang ialah masa yang paling sesuai untuk berbuat demikian. Bagaimanapun sekiranya BN tidak mengekalkan majoriti dua pertiga di DUN Sarawak, Najib mungkin memerlukan masa yang lebih. Walaupun banyak pihak meramalkan BN akan terus mengekalkan majoriti dua pertiga, namun dalam politik apa saja boleh berlaku. Lihat sajalah di Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Perak. Adakah BN lupa?

Najib juga boleh menggunakan pilihanraya Sarawak ini untuk menilai penerimaan rakyat kepada kepimpinan beliau dan 1Malaysia. Selepas beliau mengambilalih kepimpinan negara, BN mengalami kemenangan demi kemenangan, termasuklah mengekalkan Parlimen Batu Sapi yang mempunyai pengundi Cina yang cukup ramai dan mengambil kembali Parlimen Hulu Selangor yang terlepas kepada PKR dalam pilihanraya umum lalu.

Pilihanraya Sarawak membolehkan Najib untuk menilai peralihan sokongan pengundi, terutama sekali pengundi Cina kepada BN.

Dalam pilihanraya Batu Sapi dulu, empat peti undi (Jalan Sibuga, Cecily, Tanah Merah dan Jalan Leila) yang mempunyai 70% dan ke atas pengundi Cina, BN memperolehi 36% hingga 44% undi. Di Sibu, walaupun BN tewas dengan majoriti yang kecil, ia meraih sokongan di antara 28% hingga 47% peratus undi di 20 kawasan yang mempunyai 70% dan ke atas pengundi Cina.

Sokongan di kawasan majoriti Cina di Sibu dan Batu Sapi (kedua-duanya di Sabah dan Sarawak) yang diadakan selepas Najib menjadi Perdana Menteri adalah lebih baik dari di Permatang Pauh (antara 12% hingga 30% di tiga peti undi yang mempunyai 70% dan ke atas pengundi Cina) dan Bukit Gantang (antara 20% hingga 50% di empat peti undi 70% dan ke atas pengundi Cina).

Sokongan pengundi Melayu dan Bumiputera secara kepada BN secara umumnya adalah baik, manakala dalam konteks Sarawak, bilangan pengundi India adalah tidak besar.

Pilihanraya Sarawak juga akan menentukan masa depan Pakatan Rakyat, khususnya PKR. Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini, DAP akan merupakan pemenang paling besar dalam pilihanraya Sarawak. Parti itu dijangka meletakkan calon di kesemua 19 buah kerusi yang ditandingi SUPP. Malah, DAP telah melakukan pendaftaran pengundi secara besar-besaran di kawasan ini.

Secara purata, peningkatan pengundi berdaftar di kawasan-kawasan ini ialah sekitar 2,600 orang berbanding hanya 1,000 orang ke bawah di kawasan yang ditandingi PBB, SPDP dan PRS - berdasarkan perbandingan daftar pemilih 2006 dan 2010. Saya pasti DAP Sarawak tidak akan memberikan ruang kepada PKR untuk meraih kemenangan hasil kerja kerasnya, termasuklah di Padungan yang sekarang dipegang oleh Dominique Ng (PKR).

PAS pula tidak bercita-cita besar. Parti itu cukup realistik dan dilaporkan akan bertanding di antara empat hingga enam kerusi sahaja (daripada 17 kerusi DUN Sarawak), tidak memungkinkannya menjadi pemain utama dalam politik Sarawak - sekurang-kurangnya pada masa ini.

Tumpuan sekarang ialah kepada PKR yang dikatakan "bernafsu besar" (istilah Presiden SNAP) ingin bertanding di 52 kerusi DUN Sarawak menyebabkan SNAP bertegas dan mengumumkan 16 orang calonnya. Sekiranya SNAP dan PKR tidak dapat berkompromi sebelum hari penamaan calon, pertandingan tiga penjuru dengan BN tidak dapat dielakkan.

Sekiranya PKR gagal menambah satu kerusi DUN Sarawak (dari satu kerusi Padungan sekarang), maka Dato' Seri Anwar Ibrahim boleh berhenti untuk bercakap menjadi Perdana Menteri. Malah, sekiranya Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian kalah untuk kali keempat di Ba'kalalan, PKR boleh melupakan hasratnya untuk bertapak di Sarawak.

Dan, akhir sekali pilihanraya Sarawak juga akan menentukan bentuk peralihan kuasa. Sekiranya BN berjaya mendapat majoriti dua pertiga di DUN Sarawak, Taib akan melepaskan jawatan Ketua Menteri secara tertib kepada penggantinya. Antara yang disebut ialah Tan Sri Adenan Satem, Dato' Amar Abang Johari Tun Openg dan Dato' Amar Awang Tengah Haji Hassan. Sekiranya Ahli Parlimen Tanjung Manis, Norah Abd Rahman dan Anggota Parlimen Igan, Dato' Wahab Haji Dollah bertanding dalam pilihanraya DUN Sarawak kali ini, mereka juga berpeluang menduduki kerusi tersebut.

Bagaimanapun, sekiranya BN gagal menguasai dua pertiga kerusi DUN Sarawak, Taib mungkin mengikuti jejak Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas pilihanraya umum lalu - berhenti dalam keadaan yang tergesa-gesa dan mengalami tekanan dari pemimpin dan ahli parti sendiri.

Melihat kepada implikasi yang besar ini, maka semua pihak meramalkan pilihanraya kali ini akan menyaksikan persaingan sengit antara parti-parti yang bertanding.

Gendang sudah dipalu, silalah masuk ke gelanggang!

Sunday, March 20, 2011

TANAH ADAT PRIBUMI SARAWAK

Awang Tengah
Dalam tulisan saya terdahulu di sini dan di sini, saya menulis mengenai isu tanah adat pribumi (NCR) yang pada pandangan saya akan merupakan antara isu utama dalam pilihanraya Negeri Sarawak akan datang.

Berikut saya siarkan penjelasan Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengenai isu ini:
Mengenai tanah adat pribumi, Awang Tengah berkata kerajaan negeri Sarawak telah meluluskan dan mewartakan 27 lokasi meliputi kawasan seluas 21,286 hektar sebagai tanah komunal Bumiputera pada 2010.


Tanah itu melibatkan 10,880 penuntut tanah adat dari 16 kampung dan 68 rumah panjang daripada pelbagai kumpulan etnik di seluruh negeri.


Bagi 2011, Awang Tengah berkata 107 kawasan tanah adat berjumlah 377,370 hektar telah diluluskan untuk diukur dan diwartakan sebagai tanah komunal Bumiputera. Kira-kira 57,061 penuntut daripada pelbagai lapisan masyarakat akan mendapat faedah daripada program itu.


Kerajaan telah memperuntukkan RM60 juta bagi kaji ukur tanah adat bagi 2011-2012 untuk menandakan sempadan tanah adat dan tanah kerajaan negeri. [Sumber: BERNAMA]

Thursday, March 17, 2011

SNAP, DAP & PKR DALAM POLITIK "CANNOT WAIT" SARAWAK

Kekuatan pembangkang Sarawak terletak kepada DAP

Gabriel Adit Demong adalah ahli politik Sarawak yang cukup berwarna-warni. Kalau dalam politik Semenanjung, beliau sudah lama dilabel sebagai "katak" - satu gelaran yang diberikan kepada pemimpin politik yang sering melompat parti. Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak selama empat penggal - di mana tiga penggal adalah di bawah Barisan Nasional (BN); mewakili Parti Bansa Dayak Sarawak yang kini dibubarkan. Dalam pilihanraya lalu, beliau bertanding sebagai calon Bebas dan menang. Pada tahun 2008, beliau menyertai PKR dan kemudian keluar dari parti itu tidak lama kemudian. Selepas itu, beliau menyertai Parti Cinta Malaysia (PCM).

Gabriel Adit berbangsa Iban dan mewakili kawasan DUN Ngemah, yang terletak dalam Parlimen Kanowit. Di kalangan penduduk tempatan, Kanowit juga dikenali sebagai "Cannot Wait" - dan sikap Gabriel Adit adalah merupakan wajah politik Sarawak yang "Cannot Wait."

Dua hari lepas, Sarawak National Party (SNAP) sebuah parti pembangkang di negeri ini mengumumkan 16 orang calon DUN Sarawak. Presiden SNAP, Edwin Dundang mengumumkan parti itu akan bertanding di sebanyak 40 buah kerusi (daripada 71 buah kerusi DUN) atau mungkin lebih. Calon yang diumumkan itu juga hadir dalam sidang media di Kuching itu. Bagaimanapun, ada pihak yang melihat SNAP terlalu yakin walaupun parti itu dilihat sebagai sudah mula hilang taringnya.

Walaupun begitu, pengumuman tersebut adalah merupakan tamparan hebat kepada PKR yang dikatakan ingin meletakkan calonnya di 52 kerusi DUN. Ia juga sekaligus menunjukkan bagaimana pemimpin-pemimpin pembangkang melihat PKR di Sarawak. Dalam konteks politik Sarawak, PKR dilihat sebagai sebuah "parti Semenanjung." Rakyat di  negeri ini melihat PKR dengan penuh curiga - sama seperti mereka melihat hasrat sesetengah pemimpin UMNO untuk membawa masuk parti itu ke Sarawak tidak lama dulu.

Atas sebab itulah agaknya, maka SNAP tidak mahu diperbudak-budakkan dengan tawaran PKR agar parti yang sudah lama bertapak di Sarawak itu bertanding di kurang lima buah kerusi DUN. Pengumuman SNAP telah menjadikan usaha membentuk pakatan pembangkang di sini menjadi lebih sukar. Malah seperti yang disebutkan oleh Edwin Dundang, pertembungan di kalangan parti-parti pembangkang adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan lagi. Di kalangan pemimpin SNAP, PKR juga dilihat sebagai parti yang ingin menjadi juara pembangkang dan "Cannot Wait" sedangkan ia baru setahun jagung.

Di DUN Sarawak, PKR hanya ada satu kerusi. Bagaimanapun, kemenangan Dominique Ng di DUN Padungan (dalam Parlimen Kuching) dalam pilihanraya tahun 2006 dilihat sebagai atas kekuatannya sendiri, selain bertanding di kawasan DAP dan majoriti Cina. Dominique Ng sebelum ini pernah beberapa kali bertanding sebagai calon Bebas dan atas tiket DAP. PKR juga menyedari "kelemahan" Dominique Ng dan Gabriel Aidit (sewaktu beliau dalam PKR) dan sebab itulah walaupun kedua-dua mereka menjadi ADUN, mereka tidak dilantik sebagai Pengerusi PKR Sarawak. PKR lebih bersedia melantik bekas Naib Presidennya, Mustafa Kamil Ayub ke jawatan itu, menyebabkan sesetengah pemimpin PKR di Sarawak marah dengan keputusan tersebut.

Kini, jawatan pengerusi PKR Sarawak dikembalikan kepada orang Sarawak - Baru Bian. Beliau dijangka bertanding di kerusi DUN Ba'kalalan. Dalam politik Sarawak yang penuh berwarna-warni di mana suku kaum masih dilihat memainkan peranan penting, Baru Bian mewakili komuniti kecil Orang Ulu. Sementara Baru Bian adalah merupakan seorang peguam dan dilihat sebagai aktivis sosial, namun isu yang diperjuangkannya dilihat berlegar di sekitar isu-isu tanah adat (NCR) sahaja. Sebahagian besar rakyat Sarawak tidak melihat Baru Bian di luar isu tanah adat.

Apabila Tan Sri Adenan Satem mencabar beliau berdebat isu tanah adat, Baru Bian menolak dan mengatakan beliau hanya ingin berdebat dengan Ketua Menteri, Dato' Patinggi Taib Mahmud saja. Malah, beliau pernah tewas dalam tiga pilihanraya  sebelum ini. Dari sudut ini, Baru Bian tidak dilihat sebagai seorang tokoh yang mampu menerajui politik Sarawak yang cukup kompleks.

Kekuatan sebenar pembangkang di Sarawak terletak kepada DAP. Malah, DAP dilihat akan menjadi pemenang utama dalam pilihanraya negeri akan datang - walaupun pembangkang tidak berjaya menumbangkan BN. Walaupun DAP juga adalah merupakan "parti Semenanjung", namun ia sudah lama bertapak dan pemimpin-pemimpin tempatan dilihat sebagai menjuarai isu-isu Sarawak; tanpa bergantung kepada pemimpin Semenanjung seperti Karpal Singh, Lim Kit Siang atau Lim Guan Eng. Kehadiran DAP dirasai dalam politik tempatan, terutama sekali di kawasan bandar. Kemenangan DAP dalam pilihanraya kecil Sibu tidak lama dulu memberikan semangat kepada parti itu untuk terus menguasai kerusi DUN dalam kawasan majoriti Cina.

DAP dilaporkan akan bertanding di hampir semua kawasan majoriti Cina yang ditandingi oleh SUPP, parti yang mewakili BN. DAP juga dikatakan ingin bertanding di kawasan DUN Padungan yang kini dipegang oleh Dominique Ng, mewakili PKR. Bukan rahsia lagi, Dominique Ng tidak disenangi oleh DAP.

Sementara itu, PAS juga menunjukkan minat untuk bertanding dalam DUN Sarawak. Bagaimanapun, beberapa orang pemerhati politik Sarawak meramalkan parti itu sukar untuk menembusinya dalam pilihanraya kali ini. Walaupun begitu, komitmen aktivis PAS mungkin akan memecahkan undi Bumiputera Islam dan menguntungkan parti pembangkang lain di kawasan marginal.

Dalam politik "Cannot Wait" Sarawak, kita akan terus menyaksikan warna-warni politik. Sewaktu saya di Kuching semalam, saya melihat media massa sudah mula berkampung. Begitu juga dengan pasukan keselamatan. Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak akan berada di sini pada 19 Mac, dan sehari selepas itu, Taib Mahmud akan berlepas ke Mekah untuk mengerjakan umrah. Cakap-cakap politik di Sarawak mengatakan DUN Sarawak akan dibubarkan apabila beliau pulang dari umrah.

Ah, "Cannot Wait"!

* * *

NOBISHA sudah beberapa bulan berulang-alik ke Sarawak, merasai denyut nadi politik di negeri ini. Artikel ini ditulis dari Sibu, selepas beliau melawat Limbang, Miri, Kuching, dan Kanowit - termasuk bertemu masyarakat di rumah panjang. Hari ini, beliau akan melawat Kapit bagi melihat dan mendengar sendiri pandangan mereka mengenai politik Sarawak yang semakin berwarna-warni. Dalam tulisan akan datang, NOBISHA akan berkongsi pandangannya mengenai kekuatan dan kelemahan Barisan Nasional Sarawak pula.

Tuesday, March 15, 2011

MEDIA SOSIAL & PILIHANRAYA SARAWAK

Sudah beberapa hari saya berada di Bumi Kenyalang ini, bertemu pelbagai pihak untuk mendengar pandangan mereka mengenai pilihanraya Sarawak. Saya mengembara dari Miri, Kuching, Sibu dan Kapit - serta ke kawasan-kawasan sekitarnya. Sebelum ini, saya telah ke Limbang dan Lawas.

Di mana saja saya pergi, saya bertanya satu soalan - setakat manakah pengundi, terutama sekali anak-anak muda, mendapat akses internet dan media sosial. Satu perkara yang ketara ialah walaupun kawasan pedalaman sukar dihubungi oleh jalanraya (terpaksa bergantung kepada pengangkutan udara dan air), namun ia tidak dipisahkan oleh media sosial.

Setelah berbual dengan ramai penduduk di bandar, pinggir bandar dan pedalaman, saya cukup yakin bahawa media sosial - sama ada blog, Facebook atau Twitter - akan memainkan peranan yang penting dalam mencaturkan keputusan pilihanraya Sarawak yang akan diadakan tidak lama lagi. Adalah menjadi satu kesilapan yang cukup besar sekiranya ada pemimpin politik di Sarawak yang merasakan pengundi pedalaman tidak tahu apa yang disiarkan dalam internet - tak kisahlah sama ada ia benar, bohong atau separuh benar.

Apa saja tuduhan yang tidak dijawab akan dianggap benar. Pengundi akan membentuk persepsi dan akhirnya ia menjadi kepercayaan. Kesemua ini akan diterjemahkan sebagai undi. Amat bodoh sekiranya masih ada lagi pemimpin politik yang masih membenam kepala dalam pasir dan menganggap media sosial tidak akan memberikan impak besar kepada keputusan pilihanraya akan datang.

Biar saya sebutkan secara berterus-terang bahawa kegagalan pemimpin politik Sarawak mendekati anak-anak muda melalui media sosial akan mengundang bencana!

Monday, March 7, 2011

MERLIMAU & KERDAU: INGATAN UNTUK BARISAN NASIONAL

Konvensyen BN - satu permulaan yang baik, tetapi tidak cukup

Seperti dijangkakan, Barisan Nasional menang besar dalam pilihanraya kecil di Merlimau dan Kerdau. Di Merlimau, calon BN Roslan Ahmad, 44, memperoleh majoriti 3,643 undi menewaskan calon PAS, Yuhaizad Abdullah, 38. Di Kerdau pula, Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, mendapat majoriti 2,724 undi mengalahkan calon PAS, Hassanuddin Salim, 43. Tahniah kepada BN dan juga calon-calon berkenaan.

Dalam proses demokrasi, ada yang menang dan ada yang kalah. Bagi yang kalah, usah cipta alasan untuk menjustifikasi kekalahan tersebut. Muhasabah dan perbetulkan kesilapan yang dilakukan. Sejak mara bergaya dalam pilihanraya umum pada Mac 2008, parti-parti dalam Pakatan Rakyat telah melakukan banyak kesilapan. Malangnya, apabila ada pihak yang menegur, maka mereka dilabel sebagai pecacai UMNO atau BN. Akhirnya, ramai juga yang mengatakan, biarlah si luncai terjun dengan labu-labunya. Nak kritik tak boleh, nak tegur pun tak boleh. Semua orang yang menegur Pakatan Rakyat dianggap "jahat" dan mempunyai motif tersembunyi. Mungkin atas sebab itu jugalah, sesetengah bloggers pro-Pakatan Rakyat mendiamkan diri sewaktu PRK Merlimau dan Kerdau.

Maka, ramai yang memilih untuk terus menegur Barisan Nasional yang dilihat sebagai lebih reseptif kepada kritikan. Malah, Pengerusi BN Dato' Seri Najib Tun Razak mengatakan zaman kerajaan (dalam konteks ini merujuk kepada kepimpinan BN) tahu semuanya sudah berakhir; maka pemimpin harus mendengar pendapat rakyat. Dalam beberapa ucapannya di Perhimpunan Agung UMNO, Najib banyak mengingatkan perwakilan UMNO untuk mendengar suara rakyat dan membuang tabiat buruk yang menyebabkan parti dan pemimpin BN ditolak dalam pilihanraya umum lepas. Hal yang sama disebutkan berulangkali dalam Konvensyen BN.

Saya fikir "transformasi politik" yang disebutkan Najib adalah merupakan respon beliau kepada kritikan rakyat yang ingin melihat BN berubah. Kesediaan Najib untuk berubah adalah merupakan satu sikap yang cukup merendah diri. Bukan mudah untuk melihat pemimpin politik berkata, "Saya sanggup berubah." Yang ramai ialah pemimpin politik yang mendongak kepala ke langit dan tak boleh ditegur langsung. Pemimpin politik "semua orang salah, saya seorang saja yang betul" memang ramai.

Sepanjang lebih lima tahun saya menulis blog ini, beberapa orang Ketua UMNO Bahagian - termasuklah beberapa orang Timbalan Menteri - telah memanggil saya bagi mendengar kritikan kepada UMNO. Walaupun ada yang merah muka apabila saya bercakap, namun saya fikir mereka hargai kritikan ikhlas saya terhadap parti itu.

Atas perubahan inilah, maka saya fikir pengundi di Kerdau dan Merlimau memberikan sokongan yang besar kepada BN. Tentunya, saya tidak menafikan ada faktor-faktor lain termasuklah kepimpinan parti itu yang bekerja keras sepanjang tempoh berkempen.

Dalam keghairahan BN meraikan kemenangan di kedua-dua pilihanraya itu, saya fikir parti itu belum lagi melepasi paras "bahaya". Sementara orang lain mengucapkan tahniah, biarlah saya memberikan ingatan kepada BN bahawa adalah menjadi satu kesilapan yang besar sekiranya ia merasakan kemenangan di Merlimau dan Kerdau itu sudah cukup membuktikan ia mampu menang besar dalam PRU13 nanti.

Sekiranya BN ingin kembali mendapat dua pertiga kerusi di Dewan Rakyat dalam pilihanraya umum akan datang, maka ia harus melakukan perkara-perkara berikut:

Pertama, tentukan momentum kemenangan di Galas, Batu Sapi dan Hulu Selangor yang kemudiannya dimantapkan dengan Tenang, Merlimau dan Kerdau diteruskan dalam pilihanraya Negeri Sarawak yang akan diadakan tidak lama lagi. Saya meramalkan pembangkang Sarawak akan menang sebanyak 13 daripada 71 kerusi DUN Sarawak. Bagaimanapun, sekiranya BN Sarawak dapat membuktikan saya salah dan kemenangan pembangkang tidak sampai 10 kerusi, maka itu adalah petanda yang baik bagi BN dalam menilai sokongan rakyat.

Kedua, menambahkan peratusan sokongan Melayu kepada sebanyak 10% dari tahap sokongan sekarang, Cina dan India di antara 15% hingga 20% lagi bagi semua kawasan, termasuklah kawasan bandar. BN tidak boleh bergantung kepada kawasan luar bandar semata-mata. Ia juga harus menang di kawasan-kawasan bandar untuk memperolehi legitimasi memerintah. Sementara sokongan pengundi Melayu penting, namun BN tidak boleh bergantung kepada undi satu bangsa saja untuk berkuasa.

Ketiga, membuang mentaliti "fixed deposit." Saya tidak percaya ada mana-mana negeri atau kawasan Parlimen / DUN yang merupakan "fixed deposit" kepada mana-mana parti politik. Saya pernah sebutkan sebelum ini bahawa pengundi sekarang - termasuklah di luar bandar - adalah merupakan pengundi nomad. Sokongan mereka berpindah-randah. Atas sebab itulah maka BN tidak harus memandang ringan serangan lawan walaupun di kawasan yang dianggap "putih." Sikap sedemikian akan hanya mengundang malapetaka.

Atas semangat itu, maka BN tidak boleh ambil mudah serangan lawan. Sikap BN sebelumnya - "tak apalah, pembangkang bukan boleh buat apa!" - harus dikikis. Saya melihat apabila Najib memberikan respon kepada "Buku Jingga," ia lahir dari sikap mengambil berat serangan lawan, walau bagaimana tidak signifikan sekali pun serangan tersebut. Begitu juga dengan tuduhan demi tuduhan kepada BN. Dalam politik persepsi, tohmahan yang tidak dijawab akan dianggap betul.

Keempat, meneruskan "transformasi politik" - khusus dalam soal pemilihan calon. Di Tenang, Merlimau dan Kerdau, ketiga-tiga calon BN adalah merupakan lepasan IPT, berumur di bawah 45 tahun dan merupakan bekas penjawat awam. Saya fikir calon muda, berpendidikan dan dari kalangan penjawat awam atau aktivis sosial lebih mudah diterima rakyat dan kurang kontroversi.

Di Kerdau, calon BN ialah Naib Ketua UMNO Bahagian, di Merlimau hanya Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian, manakala di Tenang, Azhar Ibrahim hanyalah ahli biasa UMNO. Ini bermaksud BN harus mampu melebarkan jaringan pemilihan calon kepada semua 3.5 juta orang ahlinya, dan tidak menghadkan pemilihan itu kepada hanya Ahli-ahli Jawatankuasa UMNO, MCA, MIC dan Gerakan (sekadar menyebutkan beberapa nama parti komponen BN) saja. Najib telah menyebut bahawa penyandang jawatan dalam parti tidak semestinya menjadi calon.

Najib harus menyingkirkan pemimpin UMNO yang bertindak sebagai "war lord" yang menyebabkan parti itu disisih rakyat dalam PRU lalu. Ini termasuklah pemimpin yang menganggap mereka sajalah yang paling berkuasa di kawasan itu dan semua perkara yang hendak dilakukan mesti mendapat restu mereka. Cakap bergegar-gegar dan tepuk meja untuk memaksa orang mendengar pandangan. Pemimpin sebegini mungkin dianggap "hulubalang" di zaman Kesultanan Melaka dulu, tetapi hari ini rakyat ingin melihat pemimpin yang mampu melakukan "engagement" secara berterusan.

Berdasarkan "maklumat kedai kopi" yang diperolehi, khabarnya lima orang (dari keseluruhan 15 bahagian) Ketua UMNO Bahagian di Kedah tidak akan disenaraikan sebagai calon dalam PRU13 nanti. Sekiranya ini benar, maka ia memberikan peluang kepada muka-muka baru di negeri itu. Anda mungkin ingin tahu siapakah mereka itu. Ah, biarlah rahsia!

Sewaktu Konvensyen BN Sarawak hujung minggu lalu, Ketua Menteri Tan Sri Taib Mahmud menyebut akan menampilkan lebih ramai muka baru dan profesional sebagai calon. Desas-desus awal mengatakan seramai 10 orang calon PBB (dari 36 kerusi PBB) akan digugurkan. Melihat kepada senarai wakil rakyat sedia ada, saya sarankan agar PBB mencalonkan lebih ramai lagi anak muda - malah saya ingin menyarankan agar 15 calon PBB sedia ada digugurkan bagi memberikan laluan kepada mereka.

Dan, kelima, berikan tumpuan kepada pengukuhan parti-parti komponen BN. Selepas pilihanraya umum lalu, UMNO telah melaksanakan pelbagai proses transformasi parti itu. Ada perubahan, namun saya fikir bukan mudah untuk mengajar gajah menari. Sementara UMNO sedang melaksanakan kursus pengukuhan organisasi untuk sekitar 56,000 pemimpin akar umbi parti itu, saya masih belum melihat usaha sedemikian di kalangan parti-parti komponen yang lain. Sewajarnya parti-parti komponen BN juga melaksanakan hal yang sama memandangkan pilihanraya umum sudah semakin hampir. Konvensyen BN bagus untuk membakar semangat, namun tidak cukup untuk memberikan kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi pilihanraya.

Sementara tidak salah untuk penyokong-penyokong BN merayakan kemenangan di Merlimau dan Kerdau, namun saya fikir mereka harus membezakan antara pertempuran (battle) dan peperangan (war). Menang pertempuran tidak bermakna sekiranya BN tidak mampu menang peperangan!

Saturday, March 5, 2011

PELUANG DAP DI SARAWAK

Hari ini, Barisan Nasional Sarawak adakan konvensyen. Lebih 5,000 wakil parti-parti komponen Sarawak dilaporkan hadir konvensyen ini. Ramai pemerhati politik melihat ini sebagai majlis membakar semangat dan membina pasukan Barisan Nasional sebelum parti itu memasuki pilihanraya Negeri Sarawak yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja sekarang.

Pilihanraya Negeri Sarawak sepatutnya diadakan sebelum Julai 2011, dan ia boleh dilanjutkan sehingga September. Bagaimanapun, saya percaya ia akan diadakan lebih awal dari tempoh tersebut. Ada yang meramalkan Dewan Undangan Negeri dibubarkan pada bulan ini (Mac) dan pilihanraya diadakan pada bulan April. Sementara itu, ada juga yang meramalkan ia akan diadakan pada bulan Jun, 2011. Apa pun, pilihanraya Sarawak akan diadakan dalam tempoh terdekat dan atas semangat itulah maka Konvensyen BN Sarawak diadakan.

Pelbagai pihak meramalkan pilihanraya kali ini akan terus memihak kepada BN. Malah, BN dikatakan akan terus dapat mengekalkan majoriti dua pertiga di DUN Sarawak. Andaian ini ada asasnya.

Pertama, setakat ini hanya DAP yang menunjukkan taringnya sebagai sebuah parti pembangkang yang kuat di Sarawak. Pun begitu, kawasan tumpuan DAP ialah kawasan-kawasan majoriti Cina yang ditandingi oleh SUPP. Di Sarawak, SUPP hanya bertanding 19 dari 71 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Kedua, satu kerusi yang dipegang oleh PKR sekarang dimenangi dalam kawasan tradisional DAP dalam pilihanraya lalu. Malah, kemenangan Dominique Ng Kim Ho bagi kerusi DUN Padungan pada tahun 2006 bukanlah atas kekuatan PKR, tetapi lebih kepada peribadinya sendiri. Sebelum itu, beliau bertanding di kerusi yang sama atas tiket Bebas dan DAP.

Ketiga, dalam konteks Sarawak, PKR masih dalam proses membina kekuatan. Perlantikan Baru Bian sebagai Pengerusi PKR Sarawak adalah usaha parti itu untuk membina kekuatan. Sebelum ini, jawatan tersebut pernah dipegang oleh Sdr Mustafa Kamil Ayub - menunjukkan betapa PKR belum cukup bertapak di Sarawak dan tidak mempunyai pemimpin tempatan yang kuat. Kekuatan Baru Bian ialah menjurai isu tuntutan tanah adat (NCR) dan beliau tidak dilihat memperjuangkan isu-isu rakyat yang lebih besar. Malah, kekuatannya hanya sekitar Ba'kalalan dan masih gagal memberikan impak di kawasan luar.

Keempat, selain PKR, parti PAS juga dilihat sebagai sedang membina tapak. Ia menunjukkan pencapaian yang baik namun belum cukup kuat untuk memberikan impak dalam pilihanraya kali ini. Kawasan tumpuan PAS hanyalah di sekitar Sebuyau, Beting Maro, Lingga dan Senadin. PAS dan PKR dilihat sebagai "parti Semenanjung" dan ini menyebabkan parti-parti tersebut kurang mendapat sambutan. Sementara DAP juga adalah "parti Semenajung," namun ketokohan pemimpin-pemimpin DAP tempatan menyebabkan ia diterima dengan baik, terutama sekali di kawasan bandar.

Kelima, isu-isu yang dimainkan oleh pembangkang di Sarawak berkisar kepada tiga isu utama iaitu peralihan kuasa Ketua Menteri, Tan Sri Taib Mahmud; isu-isu tanah adat (NCR) dan pembangunan.

Taib Mahmud dilihat sebagai "penyatu" politik Sarawak
Dalam soal peralihan kuasa, Taib menegaskan itu bukanlah isu besar. Sarawak mempunyai ramai pemimpin termasuklah Tan Sri Adenan Satem dan Dato' Amar Abang Johari Tun Openg. Malah, nama-nama lain seperti Dato' Amar Awang Tengah Haji Hassan, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Norah Abd Rahman dan Anggota Parlimen Igan, Dato' Wahab Haji Dollah yang dikatakan akan bertanding kerusi N38 Jemoreng juga dilihat sebagai berpotensi mengisi jawatan tersebut.

Isunya ialah bilakah Taib akan melepaskan jawatan itu. Terdapat pelbagai pendapat di kalangan pemimpin BN, bagaimanapun kesemuanya setuju bahawa Taib perlu terus memimpin BN dalam pilihanraya kali ini kerana beliau masih dilihat sebagai pemimpin yang kuat dan boleh menjadi penyatu di Sarawak.

Dalam soal tanah adat, Kerajaan Negeri telah menjelaskan isu-isu ini kepada rakyat. Bagaimanapun, tidak semua penjelasan ini diterima dengan baik. Bagi menghadapi masalah ini, Kerajaan Negeri juga telah mula mengukur dan mengagihkan geran tanah kepada mereka yang layak. Walaupun isu ini dijangka memberikan impak kepada keputusan pilihanraya nanti, namun ia tidak sampai menjejaskan peluang BN untuk terus memerintah.

Sementara isu pembangunan akan terus menghantui BN dalam pilihanraya ini, namun saya fikir ada dua langkah yang diambil oleh BN akan memberikan kesan positif kepada parti itu: (a) jaminan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak untuk melihat dan menyelesaikan isu-isu pembangunan, terutama sekali dalam menyediakan kemudahan infrastruktur di Sarawak. Dan, (b), jaminan BN akan meletakkan orang muda yang lebih peka dan agresif sebagai calon parti itu di Sarawak. Walaupun Taib pernah menyebutkan BN akan meletakkan seramai 10 orang calon baru PBB (daripada 36 kerusi yang ditandingi), namun saya menjangkakan jumlah sebenar akan lebih dari itu.

Atas kesemua alasan ini, maka saya mengekalkan unjuran saya sebelum ini bahawa pembangkang akan menang sehingga 13 kerusi DUN - satu pencapaian paling baik sehingga kini, dan saya meramalkan hampir kesemuanya, DAP!