 |
| Dato' Ismail Sabri Yaakob |
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna kata
kementeriannya sedang mencari jalan untuk tidak naikkan harga minyak RON95. Baguslah, saya sokong penuh. Langkah yang baik.
Bagaimanapun, saya belum mahu bersorak lagi. Sebelum ini pun, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob kata harga minyak petrol tidak akan naik sebelum hujung tahun 2010. Tup, tup, harga naik juga. Malah, sekarang ini pun pelbagai pihak sudah bercakap mengenai kemungkinan harga minyak naik lagi. Saya tak tahu adakah berita itu benar atau tidak, namun saya cukup yakin rakyat tidak lagi berminat dengan retorik politik dalam soal harga barang.
Rakyat akan percaya dengan cakap menteri sekiranya dia boleh turunkan harga minyak. Beliau kata harga minyak RON97 ikut harga pasaran. Sekarang rakyat ingin melihat harga minyak RON97 turun apabila harga minyak dunia turun.
Ismail Sabri tak perlu naik minyak sekiranya rakyat kurang memberikan perhatian kepada kenyataannya itu. Dalam politik, integriti penting. Integriti bermaksud perbuatan harus seiringan dengan kata-kata. Dalam kes kenaikan harga minyak, saya tak fikir rakyat ambil kisah dengan kenyataan menteri lagi.
Ia sama juga dengan apa yang berlaku kepada Ketua Umum PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim. Apabila beliau dipilih semula sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh, ramai yang percaya kepada hasratnya untuk ke Putrajaya pada 16 September, 2009. Akhirnya, harapan rakyat hancur berkecai apabila Anwar gagal merealisasikan harapan tersebut. Rakyat hanya menjuihkan bibir apabila Anwar memberikan alasan demi alasan. Beberapa insiden selepasnya termasuklah pelbagai tuduhan penyelewengan dalam pemilihan PKR membuatkan rakyat hilang keyakinan kepada Anwar. Itulah yang berlaku apabila integriti hancur berkecai.
Di Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim bercakap soal Akta Kebebasan Maklumat. Bagaimanapun, apabila Menteri Besar membuat pelbagai onar terhadap perlantikan Dato' Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri, termasuklah menghalang Khusrin menghadiri Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, maka rakyat mempersoalkan sejauh manakah integriti Khalid yang kononnya ingin menguruskan kerajaan negeri secara telus dan terbuka.
Begitu juga, sejauh manakah keterbukaan kerajaan negeri apabila Exco Kerajaan secara lantang menegah logo 1Malaysia di Selangor. Selepas protes rakyat, barulah keputusan itu dipinda.
Sementara itu, Menteri Besar Kedah Dato' Seri Azizan Abd Razak cukup cenge apabila wartawan bertanya mengenai sumbangan kerajaan negeri Kedah kepada mangsa banjir di negeri itu. Dalam dunia yang semakin terbuka, rupa-rupanya masih ada pemimpin kerajaan yang tidak boleh ditanya!
Saya sebutkan kisah-kisah di atas sekadar untuk menunjukkan bahawa dalam politik, integriti penting.
Apabila Ismail Sabri gagal penuhi janji untuk tidak naikkan harga minyak sebelum hujung tahun, rakyat marah. Mereka tak peduli lagi janji beliau untuk mengawal kenaikan harga minyak RON95.
Apabila Anwar Ibrahim gagal penuhi janji ambilalih kerajaan pada 16 September, beliau hilang integriti. Cakap beliau sekarang sudah hilang bisa.
Apabila Khalid Ibrahim sekat Khusrin hadir Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri walaupun beliau dilantik secara sah sebagai Setiausaha Kerajaan, maka rakyat hanya memandang sebelah mata kepada Akta Kebebasan Maklumat yang diwar-warkannya itu.
Dan, apabila Azizan Abd Razak berang dengan soalan wartawan, maka kenyataan beliau sewaktu mula-mula menjadi Menteri Besar yang ingin mewujudkan kerajaan yang terbuka, hanyut dibawa oleh arus banjir di negeri itu baru-baru ini.
Begitulah, integriti tak kenal sesiapa. Malah, ia juga tak kenal parti politik - UMNO, PKR atau PAS. Ia juga tak kenal Menteri atau Menteri Besar. Malah, Ketua Umum pun tidak terkecuali.
Usah naik minyak sekiranya rakyat mencurigai kenyataan pemimpin politik!