Beberapa orang sahabat meminta saya menulis mengenai Bersih dan isu-isu yang berkaitan dengannya. Kata mereka, untuk memberikan sedikit pencerahan kepada isu ini yang kelihatan kusut dalam percaturan politik kepartian di negara kita.
Biarlah saya mulakan dengan menyebut bahawa dalam sistem demokrasi, mana-mana pihak boleh membuat apa saja cadangan atau tuntutan kepada kerajaan. Saya fikir itulah yang dilakukan oleh Bersih yang telah mengemukakan lapan (8) tuntutan bagi penambahbaikan proses pilihanraya di negara ini.
Sama ada tuntutan itu wajar ataupun sebaliknya, itu soal lain. Begitu juga sama ada kerajaan patut menerima atau sebaliknya, itu bukan isu di sini. Persoalannya ialah Bersih berhak mengemukakan tuntutan tersebut. Itu sistem demokrasi yang diamalkan.
Adakah Bersih pertubuhan haram? Bersih bukanlah sebuah pertubuhan yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS). Sebaliknya, ia adalah gabungan 62 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Secara bersama, mereka menamakan gabungan tersebut sebagai Bersih.
Kalau begitu, anda mungkin bertanya, apakah isunya sehingga semua pihak termasuklah Pak Pandir dan Mak Andeh pun riuh-rendah bercakap Bersih, Bersih, Bersih setiap hari? Aha, itu soalan yang betul. Biar saya jelaskan.
![]() |
| Pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan di Greece |
Gabungan 62 buah pertubuhan bukan kerajaan yang menggelarkan diri mereka sebagai "Bersih" menyatakan secara terbuka mereka sedang melakukan mobilisasi untuk membawa penyokong-penyokong mereka turun melakukan demonstrasi di jalanan sebagai satu cara mengenegahkan tuntutan mereka. Inilah punca masalah.
Betul, rakyat mempunyai hak untuk berhimpun. Namun pada masa yang sama, undang-undang juga memberikan hak kepada kerajaan (khususnya polis dan PBT) untuk menentukan sama ada perhimpunan itu bakal menimbulkan masalah kepada rakyat yang lain. Dengan maklumat yang ada, polis memutuskan perarakan di jalan raya dalam bentuk sedemikian boleh menimbulkan masalah dan menjadi ancaman kepada keselamatan. Maka, polis tidak membenarkan. Bukan setakat ini, Bersih juga tidak memohon permit untuk aktiviti sedemikian, walaupun badan-badan gabungannya ke sana-sini mempromosikan perhimpunan jalanan tersebut.
Soal permit, bukan di Malaysia sahaja ada undang-undang sedemikian. Sesiapa saja yang hendak menganjurkan perarakan di Washington DC, termasuklah di hadapan The Capitol disyaratkan memohon permit dari polis Washington DC. Sesiapa yang melanggar undang-undang ini, disumbat ke dalam penjara. Negara berdaulat, ada undang-undang. Kalau tak suka undang-undang ini, buatlah pindaan di Parlimen. Selagi ada undang-undang, patuh.
Bagi menyekat aktiviti sedemikian yang melanggar undang-undang dan boleh memberikan kesan kepada keselamatan negara, maka polis menahan dan menyoal-siasat mereka yang mempromosikan perhimpunan jalanan tersebut. Sesiapa saja yang melakukan promosi itu dalam bentuk tulisan (brosur, banner), perkataan (ucapan) atau gambar/imej (baju, logo), disiasat oleh polis.
Apabila ada permintaan dari Bersih untuk mengadap Yang Dipertuan Agong, maka baginda membenarkan. Ini membuktikan betapa baginda adalah penaung untuk semua rakyat - tanpa mengira agama atau bangsa. Selepas menghadap Yang Dipertuan Agong, Bersih bersetuju menerima tawaran Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak untuk berkumpul di dalam stadium. Saya fikir tawaran itu adalah wajar kerana dengan cara ini penyokong Bersih dapat berkumpul (hak mereka) dan pada masa yang sama tidak menimbulkan masalah kepada orang lain.
![]() |
| Lebih mudah kawalan keselamatan dalam stadium |
Bagaimanapun, Bersih masih perlu memenuhi beberapa peraturan sebelum ia dibenarkan berbuat demikian. Antaranya ialah salah satu badan gabungan Bersih hendaklah membuat permohonan kepada pemilik stadium untuk menggunakan sesebuah stadium itu. Saya sebutkan "salah satu badan gabungan" kerana Bersih sendiri bukanlah persatuan, maka hanya persatuan yang sah saja boleh membuat permohonan itu. Pemilik stadium kemudiannya membuat keputusan sama ada membenarkan ia digunakan bagi tujuan itu atau pun sebaliknya.
Kedua, persatuan itu juga hendaklah memohon permit polis bagi mengadakan perhimpunan sedemikian. Saya fikir ini sepatutnya tidak menjadi masalah dengan syarat stadium yang hendak digunakan sesuai dengan jumlah kehadiran yang dijangkakan. Saya difahamkan Bersih bercadang untuk membawa sekitar 80,000 orang penyokong ke perhimpunan itu. Sekiranya itulah jumlah, maka hanya ada dua saja stadium yang sesuai iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil, atau pun Stadium Shah Alam. Selain itu, saya tidak lihat ada stadium lain yang sesuai bagi menampung jumlah penyokong yang ramai dan kemudahan tempat meletak kereta yang mencukupi.
Maka, apabila kedua-dua perkara itu dilakukan, maka berhimpun dan bersyarahlah sepuas hati. Selagi apa yang disyarahkan itu tidak melanggar undang-undang negara, maka biarkanlah. Kalau ada yang bersifat hasutan atau boleh menimbulkan ancaman keselamatan, maka pihak berkuasa hendaklah bertindak tegas.
Saya sebutkan semua ini kerana saya pun pernah menganjurkan perhimpunan yang serupa. Dulu, Aman Malaysia menggabungkan lebih 2,000 buah pertubuhan bukan kerajaan mengadakan Perhimpunan Keamanan Rakyat Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil. Saya sebagai Setiausaha Agung, Majlis Belia Malaysia (MBM) adalah pemegang permit polis dan beberapa kali dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur untuk disoalsiasat sebelum polis mengeluarkan permit. Saya masih ingat lagi (bekas Penolong Setiausaha Agung Pemuda UMNO, Dato' Zulkifli Alwi boleh sahkan maklumat ini) betapa polis mengasak saya dengan pelbagai soalan.
Pada malam perhimpunan itu, Ketua Polis Kuala Lumpur (ketika itu), Dato' Dell Akhbar Khan memegang tangan saya dan berkata, "Kamu jangan lari ke mana-mana. Kalau jadi apa-apa pada malam ini, saya akan cari kamu!" Kecut perut saya ketika itu. Saya tidak ada niat untuk melakukan onar, namun saya tak mampu mengawal apa yang bakal dilakukan oleh penyokong perhimpunan ketika itu.
Alhamdulillah, walaupun bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan deretan pemimpin politik dan NGO berucap berapi-api mengutuk penjajahan di Iraq, suasana dalam stadium terkawal. Mereka menjerit dan melaungkan pelbagai slogan, namun mereka tidak membakar stadium atau menimbulkan kekacauan.
Apabila berakhir perhimpunan tersebut, saya dan Dato' Zulkifli Alwi terbaring kepenatan di tengah-tengah padang stadium. Kami mengesat peluh yang membasahi baju. Soal sama ada orang akan ingat dan menghargai perjuangan, kami tak peduli ketika itu. Apa yang penting ialah kami berjaya mengumpulkan lebih 250,000 orang di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menyampaikan mesej kepada dunia bahawa rakyat Malaysia cintakan keamanan.
Sebagai seorang yang telah melalui semua itu, saya faham keghairahan 80,000 penyokong Bersih untuk menyampaikan mesej yang sama. Nasihat saya ialah ikutilah undang-undang negara, bekerjasamalah dengan pihak polis dalam mengatur perhimpunan ini dan ikut arahan pihak berkuasa (termasuk PBT). Usah keras kepala dan merasakan diri mengatasi undang-undang.
![]() |
| Greece - apabila penunjuk perasaan gagal kawal emosi |
Sekiranya Bersih ingin mengadakan perhimpunan di dalam stadium itu untuk bercakap mengenai tuntutannya, saya fikir ia boleh diraikan. Bagaimanapun, sekiranya kumpulan itu memberikan pelbagai arahan kepada penyokong-penyokong untuk berkumpul di luar stadium atau melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan ketegangan, maka saya fikir keselamatan dan ketenteraman rakyat perlu diutamakan.
Marilah kita rayakan demokrasi dengan cara yang membina dan bermanfaat!



Semoga masih ada hati yang jernih, akal yang terbuka dan sikap kasih sayang untuk menjaga kebaikan semua. Selagi matlamat peribadi atau matlamat organisasi mengatasi kepentingan 28 juta manusia, selagi itu keamanan akan tergugat.
ReplyDeleteKeyakinan melampau bahawa tidak akan berlaku kekacauan adalah natijah kesombongan dalam menilai perasaan orang lain. Berasa bahawa hanya mereka yang ada perasaan marah, orang lain tidak ada perasaan marah. Orang lain adalah malaikat-malaikat yang hanya tahu berzikir.
Nyata disini ketuanan melayu masih utuh dalam simpanan. Kontroversi "Bersih" telah berjaya menarik perhatian pelbagai pihak termasuklah (Raja). Kalau keadaan menunjukkan begitu maka tidak timbul soal merampas kuasa dimasa hadapan yang dikata mengguna kekerasan. Dan pasti parti parti pembangkang tahu dimana kedudukan mereka dalam politik Malaysia, untuk berkuasa mereka harus mengguna demokrasi Malaysia (Demokrasi berperlembagaan). Maka itu saya setuju andai perhimpunana bersih dibuat didalam stadium. Soal laku dangkal pesertanya ketika perhimpunan berlangsung, itu tanggunjawap penganjur...Kesimpulannya benarkan perhimpunan bersih berlangsung dan diharap ia akan mendapat kerjasama penuh dari semua pihak untuk membenarkannya. Menyekatnya secara total, pada saya sangat tidak wajar. Cuba bayangkan kalau "Bersih" ini mendapat sokongan 80 ribu belia lalu ia tidak berjaya dijalankan walau dalam keadaan tertutup pasti ia akan memenangkan lawan masa PRU nanti atau juga kemenangan moral pada Ambiga, bahawa dia punya bicara sakti yang bakal meminoritikan pemerintah. ;)
ReplyDeleteTahniah Sdra Nobisha. Tepat sekali dengan pencerahan ini. Saya juga melalui pengalaman yang sama semasa saya mengetuai jentera penganjur (semasa menjadi Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia. Chief Zul tu mentor saya!) mengadakan perhimpunan 40 ribu peserta anak muda semasa pelancaran Putera UMNO di Melaka. Dengan kebenaran, saya ingin upload dalam blog saya. Tkasih
ReplyDeleteSilakan Dato!
ReplyDeletekasian2 yg dipukul tue plak dikatakan ganas...xkan org nk ganas klu polis x sembur ngan pemedih mata..ada akai ka tiba2 nk mengganas..akhir zaman...dah jd biasa bila org atasan mengerahkn tentera2nya utk memukul n menembak rakyat2nya...diakhirat nnti jwbla dpn Allah...wahai yg menyuruh,yg memukul n menyokong tindakan2 yg zalim sbgitu...stopla menyalahkn rakyat!!
ReplyDeleteMemetik tulisan Ustaz Hasrizal sewaktu BERSIH 1.0 dahulu:
ReplyDeleteSoalnya, sekalian mereka yang terlibat di dalam BERSIH memang komited kepada keamanan. Buktinya, kesemua mereka bersurai secara aman dan teratur selepas memorandum berjaya diserahkan kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. Sedangkan siapakah yang menembak orang ramai dengan water canon dan air berasid? Siapakah yang mengunci masjid malah pernah dalam demonstrasi sebelum ini, mereka masuk ke masjid dengan memakai but? Tidakkah semua itu dilakukan oleh FRU sebagai jentera pemerintah?
Bukankah teguran sepatutnya ditujukan kepada pihak berkuasa, sebelum ia dilontar kepada massa?
Mengapa pembangkang juga yang akhirnya bersalah?
http://www.youtube.com/watch?v=kKiTC6lh_dw&feature=player_embedded
Kalau SPR dengan tangan terbuka menurut 8 resolusi BERSIH tu semua rakyat Malaysia boleh tidur lena...Tapi kenapa berlaku disebaliknya....
ReplyDeletePersoalannya..
Adakah salah PR minta dikemaskinikan Daftar Pemilih.???.Tempoh kempen yang panjang sedikit ???Hak sama rata didalam media penyiaran...???
Hanya manusia yang mempunyai kepentingan tersendiri saja yang tidak mahu menurut tuntutan tersebut....
Jika kita merasakan kita kuat datanglah berapa ratus resolusi pun mesti kita akan berjaya juga lainlah kalau kita nampak kita sudah lemah....
Rakyat semakin bijak menilai melalui pengalaman rakan2 diluar Negara lain..
Tuan,
ReplyDeleteRakyat sedang memerhatikan gelagat2 pembesar2 negara menangani isu ini. Kami hanya geleng kepala
& hanya pasrah kepada Allah swt shj..