Sejak kebelakangan ini saya dapati aktivis kedua-dua belah pagar politik banyak menggunakan media sosial, secara khususnya Facebook dan Twitter, untuk berinteraksi dengan pengundi. Saya fikir ini adalah sesuatu yang baik dan harus digalakkan.
Media sosial telah memberikan peluang untuk pengundi berinteraksi dengan aktivis politik, merentasi parti. Ledakan internet menyumbang kepada perkembangan ini. Pada tahun 2000, terdapat hanya 3.7 juta pengguna internet di negara ini. Dasar kerajaan dalam ICT telah mencetuskan sejumlah 18 juta pengguna dalam tempoh sekitar 10 tahun selepas itu.
Seringkali, saya diminta untuk memberikan ceramah dan memberikan tips bagaimanakah media sosial ini boleh dimanfaatkan secara optimum. Di sini, saya kongsi panduan yang boleh digunakan oleh aktivis politik.
1. Pelihara reputasi
Gunakan Google Alert untuk memantau reputasi anda di internet. Selain itu, Social Mention juga boleh membantu. Sekiranya ada usaha merosakkan reputasi anda, ambil tindakan segera, berkomunikasi dengan pihak terbabit. Selain itu, pantau juga reputasi anda di Facebook dan Twitter dengan membuat carian di kedua-dua laman tersebut dari semasa ke semasa.
2. Jadi wartawan
Laporkan aktiviti politik anda agar ia diketahui oleh rakan media sosial anda. Beberapa kajian menunjukkan orang lebih percaya apa yang sahabat beritahu, berbanding dengan iklan. Ambil gambar, upload dalam Facebook dan Twitter. Mudah dan murah.
3. Sebarkan apa yang anda suka di media sosial
Katakan anda penyokong BN, elok retweet (RT) apa yang Perdana Menteri atau pemimpin parti tulis. Bukan semua orang "follow" Perdana Menteri di Twitter. Anda boleh bantu sebarkan. Begitu juga, kongsi link artikel atau video menarik di Facebook. Kesan viral menjadikan media sosial lebih berkuasa berbanding akhbar atau tv.
4. Fakta bukan auta
Dalam media sosial, fakta lebih meyakinkan. Auta dapat bertahan seketika sebelum orang lain mempertikaikannya. Selepas berkali-kali auta (bohong), orang hilang kepercayaan kepada maklumat yang anda berikan.
5. Usah bergaduh di media sosial
Sekiranya ada orang bertanya sesuatu, maka jawablah dengan baik. Kalau ada fakta yang salah, betulkan. Bagaimanapun, apabila seseorang mula menyerang anda (bukan lagi kepada isu), maka langkah yang terbaik ialah abaikan. Biarlah dia syok sendiri.
Selamat berinteraksi di media sosial. Dan, selamat bersedia menghadapi PRU13!
Penulis sedia berkongsi tips penggunaan media sosial untuk organisasi kerajaan dan NGO. Beliau boleh dihubungi di nobisha@yahoo.com
Salam Tuan, terima kasih atas tips yang bernas ini...dan moga media sosial ini menjadi jambatan maklumat yang bernas untuk semua rakyat Malaysia.
ReplyDeleteSetuju.....Tuan,lalu bagaiman dengan mereka(yb) yang tidak berminat untuk mengguna media sosial,seperti sekarang ini :)
ReplyDelete