Monday, April 18, 2011

PILIHANRAYA SARAWAK : GELAS SEPARUH PENUH ATAU SEPARUH KOSONG?

Penerbangan Malaysia Airlines yang membawa saya ke Kuching pada minggu lalu mengalami sedikit gegaran udara. Pilot segera menyalakan lampu isyarat, meminta penumpang memakai tali pinggang keselamatan, sambil memperlahankan kelajuan dan membuat penukaran arah penerbangan. Beberapa minit kemudian, penerbangan kembali lancar dan kapalterbang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dengan selamat.

Begitu jugalah apa yang berlaku dalam pilihanraya umum 8 Mac 2008 lalu. Keputusan pilihanraya tersebut menyebabkan "gegaran" kepada Barisan Nasional sehingga "pilot" BN bertukar kepada Dato' Seri Najib Tun Razak. Sejak beliau mengambilalih kepimpinan BN, keputusan beberapa pilihanraya kecil (seperti Bagan Pinang, Hulu Selangor, Galas, Batu Sapi, Tenang, Merlimau dan Kerdau) memihak kepada parti itu. Walaupun berjaya mengambil balik Hulu Selangor dan Galas dari lawan, BN tewas di Sibu - kawasan yang dimilikinya sebelum ini.

Nak lihat gelas separuh penuh atau separuh kosong?

Kalau separuh penuh, lihat secara positif pencapaian BN. Kalau nak lihat secara separuh kosong, lihat kawasan yang BN gagal pertahankan. Nak dilihat secara gelas separuh penuh, BN menang enam pilihanraya kecil berturut-turut. Kalau nak dilihat secara gelas separuh kosong, BN tewas Sibu, iaitu satu kawasan yang penting bagi parti itu. Keputusan pilihanraya kecil Sibu seolah-olah mencorakkan nada kepada pilihanraya negeri Sarawak yang diadakan pada 16 April lalu.

Sewaktu berbual-bual dengan seorang kawan di Waterfront Kuching selepas pilihanraya itu, secara bergurau dia mengatakan nombor "16" adalah "nombor keramat" kepada pembangkang.

Saya tak percaya kepada "keajaiban" nombor. Lalu, saya bertanya, "Apakah signifikannya nombor 16 itu?"

Dengan selamba dia menjawab, "Pada 16 September 2008, Dato' Seri Anwar Ibrahim berjanji akan menukar kerajaan - Pakatan Rakyat akan membentuk kerajaan baru di Putrajaya. Menjelang pilihanraya negeri pada 16 April 2011, Pakatan Rakyat berkata ia akan membentuk kerajaan baru di Sarawak dan pemimpin DAP secara terbuka menamakan Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian sebagai Ketua Menteri. Apa yang pembangkang dapat, hanyalah 16 kerusi!"

Angka "16" menjadi "angka keramat" kepada pembangkang.

Bagaimanakah kita ingin melihat keputusan pilihanraya Sarawak? Adakah secara gelas separuh penuh, atau gelas separuh kosong?

Sekiranya kita ingin melihat secara separuh penuh, DAP berjaya meningkatkan kerusinya dari enam (pada pilihanraya 2006) kepada 12. Itu peningkatan 100%. Manakala, PKR pula mendapat tiga kerusi, iaitu peningkatan 300% dari pencapaian pilihanraya negeri 2006. Dengan melihat secara gelas separuh penuh, seseorang boleh menyedapkan diri sendiri.

Mungkin kerana sedap hati agaknya, seorang pemimpin kanan PKR sibuk tweet menonton perlawanan bolasepak Arsenal di luar negara dalam tempoh tidak sampai 24 jam PKR tewas di 94% (46 dari 49) kerusi yang ditandinginya. Mungkin kerana seronok menonton bolasepak di luar negara, dia lupa bagaimana perasaan kecewa calon, pemimpin dan penyokong PKR di pedalaman Sarawak.

Eloklah PKR melakukan muhasabah dan melihat mengapakah parti itu dilihat sebagai arogan dan ingin membolot pembahagian kerusi, terutama sekali dengan SNAP. Dalam politik, parti memerlukan pengundi; bukan sebaliknya. Persepsi arogan tidak bagus dan saya percaya sedikit sebanyak ia menyumbang kepada kegagalan PKR untuk menang besar di Sarawak.

Saya melihat kemenangan PKR di dua kawasan DUN Sarawak bukanlah sesuatu yang luar biasa. Baru Bian sudah lama di Ba'kalalan dan beliau cukup popular di kalangan rakyat utara Sarawak, terutama dalam isu-isu tanah NCR. Lawannya, Willie Liau "calon misteri" Ba'kalalan selepas calon pilihan pertama (tak perlu saya sebutkan nama di sini), menolak, adalah muka baru. Di Batu Lintang, PKR menang di kawasan tradisi DAP selepas kedua-dua parti bertukar kerusi (DAP mendapat balik kawasan DUN Padungan, dan PKR menyingkirkan wakil rakyatnya, Dominique Ng).

Untuk melihat secara gelas separuh penuh, DAP berjaya mengekalkan kawasan tradisional dan mengambil beberapa kawasan SUPP. Itu adalah satu pencapaian yang baik. Malah, saya telah sebutkan dalam wawancara di Astro Awani bahawa strategi kempen DAP adalah paling baik - bukan saja lebih baik dari BN, tetapi juga lebih mantap dari PKR dan PAS.

Banner PAS di perumahan mewah Muara Tuang

Malah, saya melihat PAS terikut-ikut dengan rentak kempen DAP tanpa strategi yang betul. Sewaktu saya mengelilingi kawasan perumahan mewah di Muara Tuang, saya lihat banner "Negeri Sarawak Kaya, Rakyat Derita, Ubah Sekarang! Undilah PAS." Saya tak pasti bagaimanakah penderitaan penduduk di kawasan perumahan mewah itu.

Sekiranya kita ingin melihat dari gelas separuh penuh, DAP berjaya dalam politik Sarawak. Bagaimanapun, sekiranya kita melihat dari perspektif sebaliknya, kita melihat pilihanraya Sarawak menampilkan wajah sebenar DAP. Kesemua kerusi yang dimenangi DAP ialah di kawasan majoriti Cina yang besar. Satu-satunya calon DAP bukan Cina di Simanggang, tewas.

Adakah ini membolehkan seseorang merumuskan DAP hanya diterima oleh kaum Cina, dan bukannya rakyat Sarawak secara keseluruhannya? Sekiranya begitu, maka DAP masih lagi dilihat sebagai parti satu kaum, walaupun ia berusaha mencotengkan persepsi bangsa kepada parti-parti lain di Semenanjung!

Barisan Nasional berjaya membentuk kerajaan dan mengekalkan majoriti dua pertiga. Malah, PBB yang bertanding di 35 kerusi DUN Sarawak mengekalkan kesemua kerusinya. Untuk melihat secara gelas separuh penuh, itu adalah satu pencapaian yang baik. Bagaimanapun, PBB hanya bertanding di pinggir bandar dan luar bandar. PBB tidak bertanding di tengah bandar yang mempunyai majoriti bukan Bumiputera yang agak besar. Adakah ini bermaksud BN hanya mewakili suara luar bandar dan Bumiputera sahaja?

SUPP tewas di banyak kerusi yang ditandingi. Melihat dari perspektif gelas separuh penuh, hasrat Tan Sri Dr George Chan Hong Nam untuk meletakkan jawatan adalah bagus. Ia menunjukkan sikap bertanggungjawab beliau. Bagaimanapun, ia sudah terlalu lewat. Sepatutnya dia meletakkan jawatan itu lama dulu dan tidak bertanding dalam pilihanraya 16 April itu.

Sebulan lalu, sewaktu di "lounge" Lapangan Terbang Miri, saya melihat seorang lelaki berbisik sesuatu kepada George Chan dan kemudian marah-marah kepadanya. Saya tidak tahu apakah masalahnya. Namun, saya belum pernah melihat seorang Timbalan Ketua Menteri dimarahi begitu. Ada sesuatu yang tidak kena. Sepatutnya George Chan memahami "isyarat" tersebut dan tahu bahawa masa untuk beliau meletakkan jawatan telah tiba.

Bilboard di DUN Bengoh: Siapa ubah siapa?

Saya tak fikir George Chan tewas disebabkan faktor umur semata-mata. Tan Sri Taib Mahmud yang sama usia dengan George Chan menang di Balingian. Malah, Dato' Nik Aziz Nik Mat yang berusia 80 tahun dan memulakan karier politik sebagai Ahli Parlimen Pengkalan Chepa pada tahun 1967 (lihat bilboard) sudah lebih 20 tahun menjadi Menteri Besar Kelantan. Begitu juga dengan Lim Kit Siang yang berpindah randah kawasan parlimen, bermula dengan Kota Tinggi pada tahun 1969, masih dipilih.

Eloklah George Chan melihat secara gelas separuh penuh - menilai kembali sumbangannya kepada pengundi kawasan tersebut dan melihat di mana yang tidak kena. Malah, semua pemimpin Barisan Nasional Sarawak termasuklah Taib dan Tan Sri Alfred Jabu Numpang mencari kelemahan yang ada dan memperbaikinya.

Semalam saya pulang ke Kuala Lumpur, setelah lebih dua minggu di Sarawak. Walaupun penerbangan Malaysia Airlines lewat bertolak selama 15 minit, namun penerbangan selama 1 jam 40 minit dari Kuching ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur cukup selesa. Tidak ada gegaran udara dan pilot tidak menyalakan lampu isyarat pasang tali keledar.

Malah, yang menyeronokkan saya ialah apabila pramugari menghidangkan kacang dan air kosong. Kali ini, dalam gelas penuh!

* * * * *

Terlalu banyak yang ingin dicatatkan. Terlalu sedikit masa yang ada. Insya-Allah, sekiranya ada kelapangan, saya akan terus mencatatkan pemerhatian saya - kalau pun tidak mengenai pilihanraya, mungkin tentang Sarawak yang mempersonakan!

3 comments:

  1. 1/ Gelas tidak akan sentiasa separuh penuh atau separuh kosong. Di masa mendatang kedudukan bergantung jika air ditambah atau ditumpahkan. Peratusan "popular vote" mungkin menunjukkan air mula ditumpahkan.
    2/ Dua faktor melakarkan pola pengundian, pertama bandar dan luar bandar dan kedua komposisi kaum. Jika tanggapan saya betul, satu fenomena tidak baik kepada negara.
    3/ Arogan/ hidung tinggi- saya juga beranggapan begitu , terutama PKR. Saya tidak pasti retorik mereka melambangkan terlayu yakin ( overconfident) atau tidak yakin. Maka untuk sedapkan hati , mereka melaung- laung dengan kuat bahawa mereka mendapat sokongan rakyat. PAS juga ada masanya bersikap terlalu yakin.
    4/ Sememnangnya DAP melakar strategi pada setiap pergerakkan mereka. Mungkin DAP ada think tank yang hebat, tetapi tidak PKR dan PAS. Adakah ia melambangkan struktur organisasi PKR dan PAS berbeza dengan DAP?.

    ReplyDelete
  2. Dalam kes pilihanraya DUN Sarawak, saya suka memilih melihat ianya separuh kosong dan separuh masak!

    Kalau separuh penuh, mudah rasa kenyang atau masih kenyang dan tak perlu buat lebih lagi . . . . . . .

    Ada beberapa strategi yang digunakan dilihat sebagai separuh masak. Antaranya bila ada laman web (yang sepatutnya ada pengaruh) mengumumkan 'ramalan' PR-50 BN-21: mungkin dia lupa pelayar internet adalah masyarakat membaca - siapa yang mereka ni nak 'pujuk' supaya percaya? Kalau ya pun nak 'mengecek', jangan buat 'tertonggeng atas darat'.

    ReplyDelete
  3. Keputusan pilihanraya Sarawak ibarat kocak air dalam gelas separuh kosong... tiada tsunami berlaku. Tsunamai yang dijangkakan oleh kebanyakan pemerhati dan penganalisa kedai kopi tidak menjadi realiti. Sarawak kekal di bawah teraju kepimpinan BN.

    Niat PKR untuk meletakkan calonnya sebagai Ketua Menteri tidak kesampaian. Hasrat DAP yang ingin menafikan majoriti 2/3 BN juga tidak kesampaian. Harapan PAS yang ingin bertapak di Sarawak tidak termakbul, PAS terpaksa menunggu lagi.

    Kekalahan BN di beberapa kerusi umpama membuang buruk. GeorgeChan umpamanya sudah 'overstayed the welcome'. Ternyata strategi politik DAP yang lebih tersusun dan terancang menjayakan misi mereka menambah kerusi yang dimenangi. Gelojoh PKR membawa musibah kepada mereka, walau berjaya menambah 2 kerusi kepada 3. Gelojoh politik PKR yang bertanding 49 dari 71 kerusi DUN Sarawak ditolak oleh pemilih Sarawak.

    ReplyDelete

Engagement di media sosial tidak bermakna sekiranya orang yang lantang bercakap soal akauntabiliti dan transparensi tidak memperkenalkan diri, dan baling batu sembunyi tangan. Saya ingin mengubah cara kita berkomunikasi di media sosial. Sila gunakan nama betul apabila membuat komen di blog ini. Paling kurang, gunakan bahasa yang beradab. Sekiranya tidak, maaf komen itu akan saya bakulsampahkan.