Friday, February 25, 2011

PERSAMAAN CALON BN DAN PAS

Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44 menerima ucapan tahniah selepas diumumkan sebagai calon BN bagi DUN Kerdau

Apakah persamaan di antara calon-calon Barisan Nasional  dan PAS di Tenang, Merlimau dan Kerdau?

Mohd Azhar Ibrahim (BN) yang menang dalam pilihanraya kecil Tenang ialah bekas Penolong Pegawai Daerah, sementara calon parti itu di Merlimau, Roslan Ahmad, ialah bekas pengurus di Melaka Holdings Sdn Bhd. Di Kerdau, BN meletakkan Syed Ibrahim Syed Ahmad, bekas pegawai di Pejabat YAB Menteri Besar Pahang. Ketiga-tiga mereka memegang jawatan dalam kerajaan yang menyumbang kepada rakyat dalam bidang mereka sendiri. Mereka bukan kontraktor atau ahli perniagaan.

Azhar berusia 39 tahun, manakala Roslan dan Syed Ibrahim masing-masing berumur 44 tahun. Ketiga-tiga mereka secara relatifnya muda - di bawah usia 45 tahun.

Sementara Roslan dan Azhar mempunyai ijazah sarjana muda, Roslan memiliki diploma. Mereka adalah generasi yang mendapat pendidikan tinggi di IPT.

Ketiga-tiga calon BN di Tenang, Merlimau dan Kerdau ini juga berkongsi umur yang sama dengan calon-calon PAS yang bertanding dalam pilihanraya yang sama. Calon-calon PAS, Normala Sudirman (Tenang), Yuhaizad Abdullah (Merlimau) dan Hasanuddin Salim (Kerdau) juga di bawah usia 45 tahun; dan kesemua mereka mempunyai kelayakan minima diploma.

Saya melihat senarai calon-calon ini sebagai sesuatu yang positif dalam politik Malaysia, khususnya politik Islam-Melayu.

Pertama, di pihak BN ia memperlihatkan kesungguhan Pengerusi BN, Dato' Seri Najib Tun Razak untuk melaksanakan transformasi politik yang disebutkan terdahulu. Saya fikir, Najib mahu memberikan isyarat kepada pemimpin-pemimpin UMNO bahawa parti itu akan terus meletakkan lebih ramai lagi calon-calon muda dalam pilihanraya, tidak mengutamakan kontraktor (seperti persepsi masyarakat kepada parti itu) dan mengutamakan mereka yang mempunyai pendidikan tinggi.

Dari segi kedudukan dalam parti, Syed Ibrahim ialah Naib Ketua Bahagian, Roslan hanyalah Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian, manakala Azhar tidak ada apa-apa jawatan tinggi dalam parti itu. Ia seharusnya memberikan mesej yang jelas bahawa jawatan dalam parti bukanlah perkara pokok. Apa yang penting ialah calon itu mestilah "winnable."

Sekiranya ada pemimpin veteran dalam UMNO yang ingin bergayut dengan jawatan dan terus bertanding dalam pilihanraya akan datang, maka fikirkanlah mesej yang Najib ingin sampaikan!

Kedua, di pihak PAS saya juga melihat ini sebagai sesuatu yang baik. Parti itu harus terus memberikan peluang kepada calon-calon muda seperti Normala, Yuhaizad dan Hasanuddin.Sebelum ini pun, PAS telah meletakkan ramai calon muda, maka ia harus diteruskan lagi dalam pilihanraya-pilihanraya akan datang.

Apa yang saya harapkan mereka ini boleh menjadi pemimpin yang lebih baik daripada pemimpin-pemimpin veteran dalam parti itu.

Saya teringat kata-kata seorang Ahli Parlimen PAS kepada saya tidak lama dulu. Dia yang seorang anak muda berbisik kepada saya: "Sekiranya mak bapak kita (UMNO dan PAS) dulu bergaduh, tak ada sebab untuk kita terus bergaduh!"

Saya mengharapkan pemimpin-pemimpin muda UMNO dan PAS membawa politik baru di Malaysia yang mengutamakan idealisme dan hujah. Hentikan politik tuduh-menuduh, menjahiliyahkan lawan, menjatuhkan hukuman, dan "character assasination" yang tidak menyumbang kepada kematangan politik tanahair.

Harap-harap pemimpin lama dalam UMNO dan PAS faham mesej ini!

0 comments:

Post a Comment

Engagement di media sosial tidak bermakna sekiranya orang yang lantang bercakap soal akauntabiliti dan transparensi tidak memperkenalkan diri, dan baling batu sembunyi tangan. Saya ingin mengubah cara kita berkomunikasi di media sosial. Sila gunakan nama betul apabila membuat komen di blog ini. Paling kurang, gunakan bahasa yang beradab. Sekiranya tidak, maaf komen itu akan saya bakulsampahkan.