Wednesday, February 23, 2011

ISMAIL SABRI USAH NAIK MINYAK!

Dato' Ismail Sabri Yaakob
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna kata kementeriannya sedang mencari jalan untuk tidak naikkan harga minyak RON95. Baguslah, saya sokong penuh. Langkah yang baik.

Bagaimanapun, saya belum mahu bersorak lagi. Sebelum ini pun, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob kata harga minyak petrol tidak akan naik sebelum hujung tahun 2010. Tup, tup, harga naik juga. Malah, sekarang ini pun pelbagai pihak sudah bercakap mengenai kemungkinan harga minyak naik lagi. Saya tak tahu adakah berita itu benar atau tidak, namun saya cukup yakin rakyat tidak lagi berminat dengan retorik politik dalam soal harga barang.

Rakyat akan percaya dengan cakap menteri sekiranya dia boleh turunkan harga minyak. Beliau kata harga minyak RON97 ikut harga pasaran. Sekarang rakyat ingin melihat harga minyak RON97 turun apabila harga minyak dunia turun.

Ismail Sabri tak perlu naik minyak sekiranya rakyat kurang memberikan perhatian kepada kenyataannya itu. Dalam politik, integriti penting. Integriti bermaksud perbuatan harus seiringan dengan kata-kata. Dalam kes kenaikan harga minyak, saya tak fikir rakyat ambil kisah dengan kenyataan menteri lagi.

Ia sama juga dengan apa yang berlaku kepada Ketua Umum PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim. Apabila beliau dipilih semula sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh, ramai yang percaya kepada hasratnya untuk ke Putrajaya pada 16 September, 2009. Akhirnya, harapan rakyat hancur berkecai apabila Anwar gagal merealisasikan harapan tersebut. Rakyat hanya menjuihkan bibir apabila Anwar memberikan alasan demi alasan. Beberapa insiden selepasnya termasuklah pelbagai tuduhan penyelewengan dalam pemilihan PKR membuatkan rakyat hilang keyakinan kepada Anwar. Itulah yang berlaku apabila integriti hancur berkecai.

Di Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim bercakap soal Akta Kebebasan Maklumat. Bagaimanapun, apabila Menteri Besar membuat pelbagai onar terhadap perlantikan Dato' Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri, termasuklah menghalang Khusrin menghadiri Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, maka rakyat mempersoalkan sejauh manakah integriti Khalid yang kononnya ingin menguruskan kerajaan negeri secara telus dan terbuka.

Begitu juga, sejauh manakah keterbukaan kerajaan negeri apabila Exco Kerajaan secara lantang menegah logo 1Malaysia di Selangor. Selepas protes rakyat, barulah keputusan itu dipinda.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah Dato' Seri Azizan Abd Razak cukup cenge apabila wartawan bertanya mengenai sumbangan kerajaan negeri Kedah kepada mangsa banjir di negeri itu. Dalam dunia yang semakin terbuka, rupa-rupanya masih ada pemimpin kerajaan yang tidak boleh ditanya!

Saya sebutkan kisah-kisah di atas sekadar untuk menunjukkan bahawa dalam politik, integriti penting.

Apabila Ismail Sabri gagal penuhi janji untuk tidak naikkan harga minyak sebelum hujung tahun, rakyat marah. Mereka tak peduli lagi janji beliau untuk mengawal kenaikan harga minyak RON95.

Apabila Anwar Ibrahim gagal penuhi janji ambilalih kerajaan pada 16 September, beliau hilang integriti. Cakap beliau sekarang sudah hilang bisa.

Apabila Khalid Ibrahim sekat Khusrin hadir Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri walaupun beliau dilantik secara sah sebagai Setiausaha Kerajaan, maka rakyat hanya memandang sebelah mata kepada Akta Kebebasan Maklumat yang diwar-warkannya itu.

Dan, apabila Azizan Abd Razak berang dengan soalan wartawan, maka kenyataan beliau sewaktu mula-mula menjadi Menteri Besar yang ingin mewujudkan kerajaan yang terbuka, hanyut dibawa oleh arus banjir di negeri itu baru-baru ini.

Begitulah, integriti tak kenal sesiapa. Malah, ia juga tak kenal parti politik - UMNO, PKR atau PAS. Ia juga tak kenal Menteri atau Menteri Besar. Malah, Ketua Umum pun tidak terkecuali.

Usah naik minyak sekiranya rakyat mencurigai kenyataan pemimpin politik!

10 comments:

  1. tahniah atas post yang terbaru ini..

    1)setuju kredibiliti yg tercemar menyebabkan sukar utk masyrakat percaya pada individu terbabit seterusnya.
    2)dari pengamatan saya, parti yang tercemar kredibiliti dengan teruknya adalah PKR dan juga UMNO kerena beberapa orang pemimpin.
    3)tetapi saya jauh dari bersetuju tentang isu perlantikan SUK Selangor. saya percaya sepertimana amalan, perlantikan jawatan sepenting itu perlu menerimapakai padangan dari Menteri Besar. pada saya, isu ketelusan adalah isu yang berbeza.
    4)saya percaya kita boleh mencapai prestasi kerja yang lebih baik dengan bekerja dengan kumpulan atau individu yang kita selesa.

    ReplyDelete
  2. tiada manusia yg sempurna,,, saya, kamu, awak, dia dan mereka semua dilahirkan mempunyai kelemahan tersendiri,,, hinggakan obama yg disanjung2 dulu pon gagal juga dlm melaksanakan janji2 nya,, kes anwar nk wujudkan kerajaan 16 sept akan berjaya sekiranya cukup wakil rakyat yg ingin berjuang bersamanya, tp x jadi kenyataan coz xd yg brani nk lompat,,,, kes khalid ibrahim ttg kebebasan maklumat,,, byk perubahan yg dilakukan... perkara ini akan jd lebih baik sekiranya pemerintahan selangor tdk diharu-birukan oleh pihak yg x bertanggungjawab,,, kes azizan marah wartawan.. wartawan rtm yg cemerlang dgn menanyakan soalan bodoh berbentuk fitnah dan tuduhan tatkala perkara yg ditanya adalah palsu... mmg provokasi pihak tertentu utk menyerlahkan kelemahan kerajaan pembangkang,,, sabri pernah janji myk x naik.. tp myk naik,,, itu sye sokong coz yg x disubsidi adalah myk ron 97.. since ron 95 disubsidi oleh kerajaan knape still ade kenaikan,,, coz ramai lg yg x mampu kat malaysia nih,,, naiknya myk memberi implikasi yg besar pd poket mereka yg kurang kaya,,, harga barang lain akan naik... so.. tanyelah diri kita sendiri.. adekah kita seorg yg berintegriti kpd org lain dn juga TUHAN,,,

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  4. Kalau minyak naik sudah semestinya GAS pun naik. Ini yang memberi masaalah pada kami.

    ReplyDelete
  5. cuma 1 yg sy x brp suka psl harga miyak yg x pnh turun w'pun hrga psrn dunia turun. suma ni retorik semata2.

    ReplyDelete
  6. minyak...kalau minyak mentah dunia naik...tak dan tunggu esok,pukul 12 tgh malam dah naik....minyak mentah dunia turun....senyap je di bawa angin sepoi2 bahasa...bangsat la..ingat rakyat ni 'customer' pada kerajaan ke???

    ReplyDelete
  7. Pelik la...Malaysia pun jual minyak juga,kalau harga naik automatik Malaysia pun untung berlebihan juga..tak boleh ke keuntungan tu digunakan utk membantu rakyat dgn menurunkan harga minyak.
    Rasa-rasanya, Malaysia tak beli minyak dari Libya..

    ReplyDelete
  8. aku rasa kalau kerajaan nak naik setakat 50sen it's ok what! dengan kenaikan ini akan kuranglah bebanan kerajaan.aku sangat sokong kalau harga minyak dinaikan dgn kadar segera memandangkan bebanan yg kerajaan tanggung sekarang.

    ReplyDelete
  9. @IZ-Jr

    rilek la.. DS Ismail Sabri pun manusia gak, tiada manusia yg sempurna,,, saya, kamu, awak, dia dan mereka semua dilahirkan mempunyai kelemahan tersendiri,,, mana lah dia nak tahu harga minyak esok lusa minggu depan naik ke tidak.. yang penting semua org, especially pemimpin termasuk la kita sendiri kena la jaga integriti, cakap jangan main cakap je, baru la org boleh percaya, kita pun maju..

    mungkin kerajaan patut biar je pengusaha stesen minyak beli dan jual minyak pakai harga diorg sendiri, mcm dekat stesen2 minyak di luar negara.. baru harga petrol dan diesel boleh competitive.. takyah susah2 kerajaan nk jaga.

    ReplyDelete
  10. Pandangan tuan berdasarkan kepada realiti politik semasa, politik organisasi pun begitu juga, cukup payah untuk menunjukkan integriti pabila iman tidak diletakkan dihadapan.

    Hidup beragama perlu disertakan iman, amal dan sabar. Mudahan kita diberikan hidayah oleh Allah

    ReplyDelete

Engagement di media sosial tidak bermakna sekiranya orang yang lantang bercakap soal akauntabiliti dan transparensi tidak memperkenalkan diri, dan baling batu sembunyi tangan. Saya ingin mengubah cara kita berkomunikasi di media sosial. Sila gunakan nama betul apabila membuat komen di blog ini. Paling kurang, gunakan bahasa yang beradab. Sekiranya tidak, maaf komen itu akan saya bakulsampahkan.