Monday, November 9, 2009

BAJU MERAH, KOMUNIKASI PAS & MEDIA SOSIAL

Akhirnya "baju merah" tewas kepada "baju kuning". Kelantan terpaksa akur bahawa Piala Malaysia tahun ini adalah milik Negeri Sembilan. Sokongan yang melaut (termasuklah dari penulis blog ini), gagal memenangkan Kelantan. Begitulah adat dunia. Ada masa menang, ada masa kalah.

Menteri Besar Kelantan Dato' Nik Aziz Nik Mat dilaporkan berkata, "Masa kita menang tak timbul pula sebarang masalah, takkanlah kita nak menang selama-lamanya, matahari pun ada naik dan jatuh!"

Mungkin, kalau Nik Aziz menyampaikan tazkirah sedemikian sebelum pertandingan bermula, tidak adalah penyokong Kelantan yang membakar kerusi dan kain rentang dalam Stadium Nasional Bukit Jalil. Kenyataan sedemikian yang dibuat selepas pertandingan tidak dapat meredakan kemarahan penyokong "baju merah" pada malam itu.

Begitu jugalah dalam politik -- masa adalah penting.

Suatu waktu dulu, segala-galanya berjalan lambat. Hari ini, keadaan bergerak pantas. Kehadiran
media sosial menjadikan sebahagian ahli politik seolah-olah tergamam dan tidak mampu bertindak dengan betul. Cakap salah, tak cakap salah. Apa saja yang diucapkan atau dilakukan oleh orang politik, pasti akan disanggah oleh rakyat melalui media sosial.

Media sosial menjadi cukup popular. Malah, media sosial kini mengambilalih pornografi sebagai aktiviti paling popular di internet. Facebook, sebagai contoh, menjadi kegilaan pelbagai pihak. Sekiranya Facebook ialah sebuah negara, ia adalah merupakan negara keempat terbesar di dunia -- di belakang China, India dan Amerika Syarikat. Selepas "negara" Facebook, barulah Indonesia dan Brazil.

Ada orang kata media sosial paling popular di kalangan anak muda. Sekiranya ingin mencapai (reach out) Generasi X, Y dan Z, gunakanlah saluran media sosial. Betul. Bagaimanapun, kajian di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa kumpulan umur paling pantas berkembang (dalam konteks penggunaan media sosial) ialah wanita antara 55 hingga 65 tahun.

Begitulah hebatnya media sosial.

Pun begitu ada yang berkata media sosial hanyalah satu "fad" atau tren semasa. Saya tidak fikir begitu. Media sosial adalah satu perubahan kepada cara masyarakat berkomunikasi. Kunci kata di sini ialah "pantas". Radio mengambil masa 50 tahun untuk mencapai 50 juta pendengar, TV selama 30 tahun untuk mencapai jumlah penonton yang sama. Bagaimanapun, internet hanya mengambil masa empat tahun saja!

Disebabkan kepantasan itulah agaknya, maka ahli politik seolah-olah masih mencari kaedah bagaimana cara menghadapi rakyat secara efektif. Perkembangan internet (dan media sosial) telah mendatarkan hubungan antara pemimpin dan rakyat (menggunakan istilah Thomas Friedman dalam bukunya, "The World is Flat").

Dalam Facebook, seorang menteri dan mahasiswa universiti adalah sama taraf. Apa yang membezakan mereka ialah maklumat dan kekuatan hujah. Sebab itulah agaknya tidak ramai menteri dan timbalan menteri yang berada di Facebook atau media sosial. Saya belum melihat ada seorang Menteri Besar atau Ketua Menteri yang melakukan "engagement" secara bermakna menggunakan media sosial. Dalam media sosial ini, mereka tidak dilindungi atau dinaungi. Tidak semua pemimpin politik yang ingin selalu kelihatan popular mahu mendedahkan dirinya sebegitu.

Apa yang berlaku dalam PAS pada hari ini ialah fenomena media sosial. Ia adalah hal yang serupa sehingga menyebabkan bekas Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan itu. Dulu, cakap "ulamak" yang berkecimpung dalam politik diterima tanpa soal. Dulu, kata-kata ini dianggap sebagai "fatwa" yang tidak boleh dicabar. Hari ini, mereka tidak lagi boleh berbuat begitu.

Ini bukan bermaksud tidak ada orang yang menyokong apa yang mereka cakap. Apa yang berlaku ialah golongan yang menentang telah bersuara. Mereka bukan lagi bercakap di kedai-kedai kopi dengan hanya beberapa orang pendengar, tetapi kepada khalayak yang lebih besar.

Nik Aziz tidak lagi boleh membuat kenyataan dan mengharapkan semua orang menyokongnya. Beliau bukan saja ditentang oleh penyokong parti lawan, tetapi juga oleh ahli partinya sendiri. Kenyataan Dato' Hassan Ali bahawa "Tuan Guru bukan Tuhan" dibuat dalam satu majlis parti itu. Bagaimanapun, seorang anggota PAS melaporkan kenyataan itu dalam media sosial dan sekarang ia sudah menjadi rahsia terbuka.

Pertentangan tokoh-tokoh PAS sewaktu Muktamar PAS baru-baru ini adalah dilaporkan oleh ahli-ahli PAS sendiri.
Istilah "Erdogan" juga dipopularkan oleh mereka. Begitu juga perbincangan dalam beberapa mesyuarat PAS dibocorkan oleh bloggers atau pengamal media baru yang mempunyai akses kepada mesyuarat tersebut.

Hari ini, beberapa orang bloggers penyokong PAS jauh lebih popular dari Tuan Haji Mohamad Sabu. Sekiranya "Abang Mat" berceramah kepada 1,000 orang pendengar, tulisan bloggers ini dibaca oleh khalayak yang jauh lebih besar.

Begitulah impak media sosial kepada PAS (saya akan menulis mengenai parti-parti politik lain dalam tulisan selanjutnya). PAS sedar perkara ini. Atas sebab itulah maka Ketua Penerangan PAS, Saudara Idris Ahmad memberitahu parti itu akan mengadakan konvensyen untuk "blogger yang mempunyai nombor keahlian PAS". Tujuannya ialah untuk mendidik blogger tersebut agar tidak melakukan perkara-perkara yang boleh menimbulkan masalah kepada parti itu.

Saya fikir itu adalah satu inisiatif yang baik. Bagaimanapun itu tidak akan menyelesaikan masalah dalam PAS. Selain pengamal media baru di kalangan ahli-ahli PAS, ramai lagi individu yang tidak berparti yang membicarakan soal PAS (dan lain-lain parti politik). Mereka mendapat "suara" melalui media sosial.

Kajian yang dilakukan menunjukkan 78% pengguna media sosial mempercayai (trust) sokongan (recommendation) rakan sebaya. Hanya 14% sahaja yang mempercayai iklan. Maksudnya, percakapan seseorang melalui media sosial memberikan impak yang besar kepada anggota masyarakat yang lain. Sebahagian besar mereka yang membicarakan isu-isu parti itu bukanlah ahli PAS.

Dalam hal ini, apa yang perlu dilakukan ialah pemimpin PAS sendiri hendaklah berubah. Sekarang zaman Politik 2.0 di mana rakyat mengharapkan pemimpin politik berinteraksi dengan rakyat. Komentar dan "sound bites" yang efektif dalam Politik 1.0 sudah tidak boleh digunakan lagi.

Persoalannya ialah adakah pemimpin PAS sedia untuk berubah cara mereka berkomunikasi? Sanggupkah mereka meninggalkan seketika gelaran "ulamak", "tok guru" dan "orang agama" dan berinteraksi dengan rakyat sebagai individu dengan individu -- sekaligus menurunkan taraf mereka ke taraf biasa?

Selama mana mereka berinteraksi satu hala dari atas ke bawah, saya fikir selama itulah rakyat akan memprotes. Inilah juga protes yang dibuat kepada sesetengah pemimpin-pemimpin UMNO yang bercakap dengan mendongak kepala ke atas!

Kritikan terhadap parti itu akan berterusan dari semasa ke semasa. Malah, rakyat yang marah kerana pandangan mereka tidak didengari mungkin akan mengambil tindakan yang lebih drastik.

PRU13 hanya tinggal tiga tahun lagi. Itu pun paling lama. Ada yang meramalkan ia akan diadakan pada tahun 2011. Mampukah PAS belajar dari kritikan terhadap UMNO dan melakukan perubahan dalam tempoh sesingkat itu?

12 comments:

C++ said...

Tuan,

Selagi mana pimpinan parti (walau apa pun parti yang ditunjanginya) tidak mahu berfikiran terbuka dan menerima kritikan, selagi itulah pimpinan parti tersebut makin jauh daripada kehendak rakyat marhaen.

Sikap besar kepala dan ego serta tidak mahu menerima kritikan sebenarnya adalah petanda akan tamatnya riwayat politik mereka ini.

Yang pasti, media sosial berkemampuan untuk mencapai sasaran dengan lebih berkesan dan pantas.

Anonymous said...

Penyokong Kelantan buat hal kat stadium selepas kalah; bakar kerusi, baling object, bakar mercun, nak gaduh. Banyak komen berbentuk penghinaan telah saya dengar. People are laughing at them.

Life's Abeach

anak muda kini... said...

pemimpin pas perlu berubah.....pemimpin umno/bn pun sangat perlu berubah......tp untuk perubahan itu lah sangat sukar bagi mereka lakukan dengan hati terbuka. sekuat dan segagah mana mereka mampu untuk merubahkan diri,parti mereka supaya sentiasa gah dan hebat sepanjang masa...namun mampu kah mereka berkorban meningalkan ape yang mereka miliki kini demi kelangsungan kekuasaan parti dan kerajaan mereka....perubahan mereka inilah yang sangat sukar untuk dilakukan berbanding rakyat marhain seperti hamba ini kerana untuk merubah mereka hanyalah dengan coretan kecil diatas sekeping kertas undi yang tak sampai 5 minit!....untuk pemimpin yng berfikir..fikir fikirkan lah....mereka boleh bercakap ape sahaja...tapi kami sentiasa berfikir dan menganalisa ape benar perkataan mereka walaupun tidak menjawab sepatah perkataan pun ketika mereka mengucap ucapan dan pidato yang indah2 dan sedap di dengar.........

C.S.O said...

Salam,
Ternyata semangat bukannya penentu kemenangan se suatu matlamat ia memerlukan perancangan jitu, itu yg dapat kita pelajari dari kekalahan pasukan kelantan.Begitu jua apabila pas menerajui negeri kelantan namun ia masih tercicir dari banyak segi.Saya percaya kelantan akan lebih maju jika dibawah parti yg sesuai dengan adanya kekuatan semangat saperti yg tunjukkan oleh para penyokongnya.Tetapi sehebat manapun pemimpin nya ternyata ia gagal menamadunkan rakyatnya sehingga seolah oleh mereka berada dizaman Hang Jebat.Begitulah seandainya ketaksuban menguasai diri maka kita gagal bertindak mengikut kewarasan akal.
Saya cukup bersimpati akan tuan guru kerana beliau gagal mewariskan ilmu kepada orang kepercayaan nya sehingga mereka gagal mentarbiah rakyat kelantan sebaiknya.Itulah... pemimpin yg hanya tahu menumpang populariti atau menggunakan tuan guru bagi menepati agenda nereka sendiri.
Saya amat bersetuju dengan saranan saudara agar gelaran yang mengaitkan agama ini tidak digunakan dalam parti politik bagi menjaga kesucian dan keberkesanan dakwah kepada ummah.
Kerana ianya akan membawa lebih banyak keburukan dari kebaikan.Biarlah kita serahkan urusan agama ini kepada para ulama yg benar benar takutkan Allah dalam urusan yg diamanahkan.Biarlah intitiusi yg diujudkan dapat mamainkan peranannya tanpa tekanan dan memastikan berkembangan islam tidak dilihat luarannya sahaja.

anafakir said...

Salam...kenapa ingin dikenakan hukuman kepada Persatuan Bolasepak Kelantan [ KAFA ] atas sikap penyokongnya?.KAFA tidak mampu untuk mengawal sikap penyokong mereka...tidak ada dalam dunia bolesepak hari ini dan sejak dahulu, persatuan bolasepak berupaya mengawal tingkahlaku penyokong mereka.Kalau pemain dalam pasukan, ya, pihak persatuan bertanggungjawab untuk mendenda dan didenda.FAM cukup berminat kalau dengan Kelantan...prestasi bolasepak negara merudum, semua pemimpin tertinggi FAM selamat, terus memegang jawatan.Siapa yang boleh menghukum mereka?.Pihak yang terhukum dan teraniaya adalah pemain dan jurulatih...[kesian betul ] Kenapa bila prestasi bola sepak negara merosot tiada siapa dalam pengurusan tertinggi meletak jawatan?.sebagai mengambil tanggungjawab..tetapi tiada siapa pun yang berbuat demikian.Terengganu, penyokong meluru dalam padang untuk bertindak ke atas pengadil, berapa RM? pihak PBSNT didenda?..Mengapa tidak diambil tindakan ke atas pihak polis kerana membiarkan penyokong Kelantan bertindak sesuka hati?.Tangkap mereka dan hukum.Bukannya meletakkan kesalahan kepada KAFA.TS Annuar Musa [Presiden KAFA ] berulang kali mengingatkan penyokongnya agar menjaga tingkahlaku, berpesan dengan penuh ikhlas,pegawai pasukan juga sedemikian menasihati, Tok Guru Nik Aziz juga senada dengan TS Annuar Musa.FAM nak KAFA buat macam mana lagi?...Penyokong itu manusia, ada otak dan fikiran, bukan mudah KAFA nak jaga tindakan penyokong mereka.Pihak polis yang ada berdekatan seperti berdiam diri sahaja.Sepatutnya mereka itu yang perlu dipersoalkan dahulu...kenapa mereka tidak menahan, bertindak menghalang atau kalau perlu bertindak kasar,silakan..sebab penyokong itu dah melampau.Ni tidak,alih-alih KAFA yang menerima bahana.Penyokong adalah satu entiti berlainan dari KAFA.Bukan tanggungjawab KAFA untuk mengawal setiap inci sikap penyokong mereka.Sedangkan dalam politik, kalau penyokong bertindak ganas, penyokong itu yang 'kena'; kenapa pihak mahkamah tidak mendenda parti penyokong tersebut? kerana penyokong parti itu mendaftar sebagai ahli yang sah.Denda laaaa,tetapi sebaliknya,dalam isu rusuhan di stadium, penyokong Kelantan tidak mendaftar dengan KAFA, mereka secara suka rela datang dan memberi sokongan.Jadi kenapa KAFA perlu tanggung itu semua?.Semua penyokong pasukan negeri di negara ini tidak mendaftar dengan persatuan bolasepak.Oleh yang demikian, amat-amat tidak adil jika persatuan bolasepak yang menerima padah.Saya mencadangkan agar mana-mana penonton yang bertindak di laur batasan, hukum mereka dengan setimpalnya.Jangan letakkan kesalahan tersebut kepada persatuan bola sepak.Banyak lagi tanggungjawab persatuan yang hendak dijaga; gaji pemain, caruman KWSP, kebajikan2 lain, jurulatih dan kejurulatihan,keselasaan tempat latihan, pengangkutan ke venue pertandingan, mutu pasukan, kalah menang pasukan, banyak sebenarnya yang perlu difikirkan oleh persatuan.Apa tanggungjawab FAM di dalam mendidik penonton, kawalan stadium macam mana, macamana barang terlarang boleh dibawa masuk ke stadium?..kenapa pihak yang berkaitan dengan ini tidak dihukum?Final..sepatutnya tanggungjawab FAM, sebab mereka penganjur, mereka menjadi induk, mereka yang menyediakan pentas pertandingan, mereka yang memilih venue, mereka yang menyediakan kawalan keselamatan tetapi kenapa FAM terlepas dari tanggungjawab?Kenapa pihak persatuan negeri yang kena?...Kalau macam tu, saya mencadangkan KAFA tarik diri daripada Liga M tahun 2010.Tidak perlu lagi bertanding, 'ajar FAM', 'ajar juga penyokong Kelantan'...FAM ni nampak salah orang je, salah dan kelemahan dia?....Tiada siapa menghukum...Gajah depan mata tidak nampak,kuman di seberang laut lebih besar dari gajah.Setiap kali penyokong bertindak liar, persatuan negeri yang kena hukum.Kesian setiap presiden persatuan bolasepak negeri...Sekian, mohon mencadangkan.

jurutera pencen said...

Salam sdra Nobisha,
Saya sangat bersetuju dengan pandangan dan ulasan yang diberikan olih saudara ANAFAKIR.
Sepatutnya FAM yang bertanggungjawab sepenuhnya ke atas Perlawan Akhir untuk semua pertandingan PIALA rebutan kerana pertandingan akhir adalah kelolaan badan induk iaitu FAM. Lagipun pertandingan akhir biasanya diadakan di Ibu Negara bukannya di Ibu Negeri pasukan yang terlibat.Amat malang bagi sukan bola sepak negara kita kerana kita sehingga kini masih lagi mempunya badan induk pengurusan seperti FAM yang hanya sentiasa nampak kuman kelemahan persatuan2 negeri walaupun berada disebalik bukit sedangkan tahi di tepi lubang hidung sendiri tidak berbau.

Bateri 3A said...

KALAU NAK SALAHKAN fam PUN RASANYA TAK WAJAR JUGA .

1. SELANGOR YG SUDAH BERPULUH KALI MASUK FINAL,PENONTONNYA CUKUP BERDISIPLIN

2. KEDAH YG PERNAH BEBERAPA TAHUN MASUK FINAL DAN PERNAH MENJULANG TRIPLE TROPHY,TAK PERNAH PULA PENYOKONGNYA BERTINDAK DILUAR AKAL SEORANG MANUSIA

3. NEGERI 9 .BIARPUN KALI PERTAMA DLM TEMPOH 61 TAHUN BARU MERASA FINAL..PEMIMATNYA TETAP PUNYA SEMNAGAT KESUKANAN TINGGI

DAN SEHARUSNYA,KELANTAN YG MEGAH DENGAN SERAMBI MEKAH DAN DIPIMPIN ULAMAK TERSOHOR..HARUS MEMPUNYAI PENYOKONG DAN PENONTON YG LEBIH BERAKHLAK,YG LEBIH BERAKAL,YG LEBIH SABAR JIKA HENDAK DIBANDINGKAN DGN PENYOKONG NEGERI LAIN.

HAKIKAT TETAP HAKIKAT..BAHAWA SEJAK DAHULU LAGI..INILAH RAGAM DAN GAYA PENYOKONG SKUAD KELANTAN

MALAH BELUM PERNAH SAYA MELIHAT PENYOKONG UMNO BERARAK SAMBIL BAWA BENDERA UMNO SEMATA2 HENDAK PERGI MENONTON BOLA

TETAPI PENYOKONG KELANTAN (AHLI PAS)MELAKUKAN SESUATU YG MELOYAKAN ..

NOBISHA said...

Tuan Bateri 3A,

Sila gunakan huruf biasa (bukan HURUF BESAR) apabila menulis komen. HURUF BESAR memberikan gambaran tuan menjerit. TQ

Zahan said...

Tuan,

Saya nampak Blog Che Det boleh 'over the par of excellence' di kalangan blog-blog politik di Malaysia. Adakalanya pandangannya relevan,adakalanya tidak.Ada turun naik dalam persepsi.Persepsi vs akademik.Begitu juga blog tuan.Adakah tuan bersetuju dengan pandangan ini?

azam said...

Tuan bateri 3A, pernah dengar tak penyokong Selangor bakar bendera sendiri sebab pasukan mereka kalah?

Lan Pon said...

ello mamat azam..kami nak bakar bendera ke,stadium syah alam ke,ko apa peduli..itu hak kami..yang gedebe mu bakar hak milik org lain tuu yg buat semua rakyat Malaysia bengang tuuu..ko nak bakar bendera klantan ke,bendera bulan mengambang ke,nak bakar gambar anua musa ke nak pijak gambar nik aziz ke kami tak kan ambil peduli..sebab tu hak korang

cuba2 tarbiah kat rakyat klantan supaya menjadi manusia yg beradap sopan,yg berakhlak mulia,yg benar2 menghayati Islam..jgn asyik nak bangga ttg perjuangna Islam,hakikat sebenar islam sekadar kosmetik utk sekelumit kuasa dan daki dunia

Peminat Malaysia said...

Salam semua.

Saya amat tertarik isu yang diterbit oleh pentadbir. Secara peribadi rasa terkilan amat sangat apabila melihat reaksi segelintir penyokong kelantan yang hilang kewarasan membakar dan merosakkan perabot di Stadium Bukit Jalil. Alangkah kecewa melihat ragam mereka yang umpama macam katak di bawah tempurung, baru keluar dari sesuatu ke tempat lebih bagus. Jelas sokongan yang terlalu fanatik memberikan kesan yang negatif.

Maaf sekiranya terdapat insan yang sememang enggan mengakui kelemahan dan kurang kebiadapan Segelintir penyokong Kelantan.

Post a Comment

Saya mengalu-alukan komen yang memberikan tumpuan kepada isu dan menggunakan bahasa yang baik; tanpa perlu menyerang peribadi penulis atau orang lain. Walaupun anda mencanggahi pendapat saya, Insya-Allah komen anda akan disiarkan. Prinsip saya ialah ingin melihat sesuatu isu dari pelbagai perspektif yang berbeza.