Friday, December 2, 2011

AKTIVIS UMNO & KEMPEN POLITIK DI MEDIA SOSIAL

Dalam beberapa tulisan terdahulu, saya pernah menulis betapa kehadiran pemimpin dan aktivis UMNO dalam media sosial agak hambar. Saya katakan bahawa mereka tidak ada ummph!

Hal yang sama juga saya sebutkan beberapa kali sewaktu diwawancara melalui Astro Awani. Saya bukanlah satu-satunya orang yang bercakap hal sedemikian. Ramai lagi membuat kritikan yang sama.

Itu kritikan tahun 2008. Selepas hampir empat tahun, saya fikir keadaannya sudah banyak berubah. Saya ucapkan tahniah kepada pemimpin dan aktivis UMNO yang menerima baik kritikan tersebut. Walaupun saya mengkritik, namun parti itu tidak pernah menyekat ataupun berhenti mengundang saya untuk berceramah dan terus mengkritik secara terbuka dan berhadapan dengan mereka. Keterbukaan ini saya hargai.

@NajibRazak mempunyai 315,659 followers di Twitter
Hari ini sudah ramai pemimpin besar UMNO agresif di media sosial, khususnya Twitter. Presiden UMNO, Dato' Seri Najib Tun Razak adalah pemimpin politik Malaysia yang mempunyai follower paling ramai di Malaysia (Perdana Menteri, @NajibRazak mempunyai 316,000 followers berbanding Ketua Pembangkang, @Anwar Ibrahim 110,000, iaitu tiga kali ganda lebih ramai). Sewaktu merasmikan Perhimpunan Agung UMNO pada tahun ini juga, Najib bercakap soal peri pentingnya media sosial untuk memenangi PRU13.

Naib Presiden, Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein, Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, Ketua Wanita Shahrizat Abd Jalil, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dato' Mukhriz Mahathir, Ahli Parlimen Kota Belud, Dato' Abd Rahman Dahlan, Ahli MT UMNO, Dr Wan Norashikin Wan Nordin adalah antara pemimpin UMNO yang bukan saja popular di kalangan ahli parti, tetapi juga penyokong pembangkang!

Di Selangor, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO, Dato' Seri Noh Omar dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor, Dato' Seri Zin Mohamed adalah antara yang aktif di Twitter. Sementara, bekas Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo adalah antara blogger yang prolifik.

Saya melihat kehadiran ramai pemimpin dan aktivis UMNO di media sosial sebagai sesuatu yang positif. Dari satu sudut, ia membolehkan wacana politik berlaku secara sihat. Perkongsian pandangan dengan pemimpin dan aktivis PKR, DAP dan PAS yang sebelum ini mendominasi landskap media sosial Malaysia adalah sesuatu yang harus diraikan. Rakyat dapat mengetahui pandangan kedua-dua belah pagar politik dan ini bagus untuk demokrasi.

Sementara saya meraikan kehadiran pemimpin dan aktivis UMNO ke media sosial (dan berharap jumlah ini terus bertambah), ada beberapa perkara yang perlu diingatkan.

Pertama, media sosial adalah media massa. Apa saja yang ditulis di Twitter, Facebook dan blog adalah menjadi makluman umum dan diarkibkan. Ia akan mengambil masa yang lama sebelum dilupuskan. Oleh itu, berhati-hatilah dengan apa yang ditulis dalam media sosial. Hari ini anda mungkin menganggap itu sebagai sesuatu yang tidak penting; mungkin beberapa tahun lagi tulisan tersebut kembali menghantui anda. Hari ini anda mungkin melabelkan diri sebagai "blogger jalanan", siapa tahu pada masa depan anda dipilih sebagai calon pilihanraya!

Kedua, posisikan isu merentasi kaum. Saya bimbang apabila aktivis politik memposisikan isu secara vertikal, iaitu isu yang hidup dalam satu-satu kaum sahaja. Ya, mungkin isu itu penting untuk sesuatu kaum, namun ia harus digarap secara merentasi kaum. Dengan cara ini, kaum lain yang membaca sesuatu tulisan akan melihat bahawa perjuangan sesebuah parti politik tersebut adalah untuk semua kaum. Isu-isu seperti perumahan, kemiskinan, pembangunan dan governans (sekadar menyebut beberapa isu) adalah contoh isu merentasi kaum. Aktivis UMNO harus dilihat menjurai isu-isu sebegini.

Ketiga, elakkan "memborong" atau "overgeneralization" yang menjadikan sesuatu mesej kabur, atau lebih berbahaya, melukakan hati kaum lain. Sebagai contoh, sekiranya anda ingin mengkritik seseorang pemimpin atau parti, maka tujukan kritikan itu kepada pemimpin berkenaan; bukannya kaum beliau. Sebagai contoh, tak salah mengkritik Lim Guan Eng atau Dato' Seri Chua Jui Meng, tetapi elakkan merumuskan secara borong dan mengaitkannya dengan bangsa "Cina." Bukan semua orang Cina sokong Lim Guan Eng dan Chua Jui Meng!

Ahli Parlimen Kota Belud, Abd Rahman Dahlan @mpkotabelud dilihat sebagai wakil rakyat UMNO yang berani untuk "engage" penyokong lawan  di media sosial dalam hampir semua isu!
Keempat, sementara perlu untuk terus memberikan semangat kepada aktivis parti, pemimpin UMNO juga harus "reach out" kepada aktivis pembangkang. Elakkan budaya ingin berasa selamat di gelanggang sendiri. Dalam hal ini, saya "tabik spring" kepada Abdul Rahman Dahlan atas keberaniannya untuk "engaging" aktivis lawan dalam hampir semua isu. Sekiranya UMNO mencari pemimpin untuk diberikan "anugerah media sosial", saya fikir Abd Rahman adalah orangnya.

Dan kelima, "reach out" kepada kelompok pertengahan; iaitu mereka yang tidak berparti; walaupun sering mengkritik kerajaan tetapi tidak cenderung kepada pembangkang. Dalam diskusi secara bersemuka dengan kelompok ini, saya fikir jumlah mereka adalah ramai. Kelompok ini mengkritik UMNO disebabkan mereka melihat beberapa kelemahan yang ketara. Dan saya fikir sesetengah kritikan mereka terhadap parti itu adalah wajar. Apa yang diperlukan oleh kelompok ini ialah kesediaan parti untuk mendengar hujah mereka, berdiskusi secara rasional dan menerima pendapat yang baik. Usah labelkan semua pengkritik UMNO sebagai musuh parti. Itu terlalu simplistik!

Saya fikir, media sosial lebih dari sekadar mempunyai akaun Twitter atau Facebook. Atau, menulis blog seperti saya. Apa yang penting ialah membangunkan strategi yang efektif. Kempen politik harus menyentuh emosi pembaca, namun ia tidak akan berjaya sekiranya dilakukan dengan penuh emosi!

Saturday, August 27, 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI


Saya dan keluarga mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidil Fitri kepada sahabat-sahabat. Mohon ampun dan maaf. Semoga Universiti Ramadhan yang kita lalui pada tahun ini telah mendidik kita untuk menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya. Bagi yang pulang ke kampung, berhati-hati sewaktu memandu di jalan raya. Hendaknya kita tidak menjadi sebahagian statistik kemalangan jalanraya yang meningkat saban tahun!

Tuesday, August 16, 2011

POLITIK MUAFAKAT ISLAM-MELAYU

Politik seringkali dilihat sebagai satu pertentangan. Mungkin benar. Satu pihak ingin mempertahankan jawatan, manakala satu pihak lagi ingin merebut kuasa tersebut. Atas asas itulah agaknya, maka berita politik seringkali dilihat dari perspektif pertentangan. Wartawan yang dididik di sekolah kewartawanan untuk melihat konflik sebagai ciri “berita” juga melihat politik dari kaca mata ini.

Di negara kita, sama seperti di negara-negara Komanwel lain, ada kerajaan dan ada pembangkang. Maka, kita diasuh sejak kecil untuk mempercayai bahawa salah satu tugas pembangkang ialah mengkritik kerajaan. Sehingga ada yang berkata sekiranya pembangkang tidak mengkritik kerajaan, ia bukan pembangkang yang baik.

Sistem dua parti di Amerika Syarikat bukan saja menyaksikan Republikan dan Demokrat saling bertukar jawatan ketua minoriti dan majoriti di Senat dan Dewan Perwakilan, tetapi juga kedua-dua parti tersebut cuba memenangi hati rakyat dengan membentuk muafakat bagi membolehkan sesuatu usul diluluskan. Masing-masing cuba mendapatkan sokongan satu sama lain melalui proses perundingan. Kehebatan seseorang ahli politik bukan diukur sejauh mana beliau kuat membangkang, tetapi berdasarkan kemampuannya bertolak-ansur dan bermuafakat.

Dalam proses membentuk muafakat itu, ada yang memberi dan mengambil (give and take). Seseorang anggota Kongres akan cuba membentuk satu “coalition” bukan saja dengan anggota partinya, tetapi juga dengan parti lawan.

Pendekatan sedemikian mewujudkan suasana menang-menang (win-win) untuk kelompok majoriti dan minoriti; sekaligus mengukuhkan keyakinan kepada kata-kata, “menang tidak menang semuanya, dan kalah tidak kalah semuanya.”

Inilah yang disebutkan sebagai “politik muafakat.”

Malangnya, di Malaysia politik muafakat dilihat sebagai sesuatu yang asing. Penyokong parti-parti politik disemai dengan kepercayaan bahawa bermaufakat itu tidak baik, terutama sekali bermuafakat dengan parti politik lawan.

Oleh itu, apabila Mursyidul Am PAS Dato’ Nik Aziz Nik Mat dilaporkan berbincang dengan Ahli Parlimen Gua Musang (BN), maka ia dilihat dengan pandangan yang cukup serong sehingga Nik Aziz kemudian membuat kenyataan menafikan pertemuan itu. Sebelum ini, laporan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan bertemu dengan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak juga dinafikan berkali-kali. Malah, bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa dan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Dato’ Hassan Ali juga dicerca kerana kononnya mereka berbincang dengan pemimpin-pemimpin UMNO.

Kita tidak tahu sejauh manakah benarnya laporan-laporan tersebut, namun apa yang pasti ialah dalam politik Malaysia, khususnya politik Islam-Melayu, perbincangan dengan lawan dilihat sebagai satu dosa besar.

Duduk bersama pun dianggap tidak boleh. Kisah beberapa orang pemimpin UMNO dan PAS makan malam bersama di Yang Dipertuan Agong menjadi isu besar. Malah, beberapa bulan lalu, gambar Anwar dan Tengku Razaleigh sedang minum di lobi Parlimen diangkat oleh sesetengah akhbar sebagai berita muka satu!

Sebaliknya, dalam politik Amerika Syarikat, kemampuan untuk berbincang dan menyakinkan lawan adalah merupakan satu aset politik. Malah, disebutkan bahawa salah satu ciri untuk menjadi pemimpin majoriti dan minoriti ialah kemampuan mereka membina muafakat dengan pemimpin parti lawan.

Mungkin sudah sampai masanya untuk kita menyeru pemimpin-pemimpin untuk beralih dari politik pertentangan kepada politik muafakat. Politik muafakat bukan bermaksud harus bersatu dalam wadah yang sama. Malah, secara strategiknya eloklah pemimpin-pemimpin politik Islam-Melayu terus bersaing dalam entiti yang berbeza. Namun, itu tidak bermaksud mereka tidak boleh membentuk muafakat, terutama sekali dalam hal-hal yang menyentuh kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu.

Firman Allah swt, “Dan tolong menolonglah kamu dalam kebaikan dan taqwa, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan” (al-Maidah: 2).

Kata pepatah, bulat air kerana pembentung; bulat kata kerana muafakat.

Untuk membentuk muafakat, kedua-dua pihak harus duduk berbincang. Dari perbincangan itu, barulah boleh ditentukan agenda bersama. Selama mana kita berjiwa kecil dalam berpolitik, selama itulah kita akan melihat politik muafakat sebagai ancaman kepada survival politik kepartian.

Begitulah naifnya politik Islam-Melayu di negara ini!

Wednesday, August 10, 2011

KAJIAN MEDIA SOSIAL

Dengan hormat, dijemput mengambil bahagian dalam kajian penggunaan media sosial dan penyebaran maklumat di internet. Kajian ini mengambil masa kurang dari 5 minit. Sila hebahkan juga di wall FB anda. Klik: http://mediasosial.questionpro​.com/

Sila panjangkan kajian ini kepada rakan-rakan yang lain melalui blog, Facebook atau Twitter anda.

Dapatan kajian ini akan saya kongsi di blog ini nanti, insya-Allah.

Wednesday, July 6, 2011

BERSIH & PERAYAAN DEMOKRASI

Agak lama saya tidak menulis di blog ini. Bukan apa, agak sibuk dengan pekerjaan di samping menyambung pengajian pasca-siswazah. Kesemua ini menuntut komitmen, dan itulah yang saya lakukan beberapa bulan kebelakangan ini.

Beberapa orang sahabat meminta saya menulis mengenai Bersih dan isu-isu yang berkaitan dengannya. Kata mereka, untuk memberikan sedikit pencerahan kepada isu ini yang kelihatan kusut dalam percaturan politik kepartian di negara kita.

Biarlah saya mulakan dengan menyebut bahawa dalam sistem demokrasi, mana-mana pihak boleh membuat apa saja cadangan atau tuntutan kepada kerajaan. Saya fikir itulah yang dilakukan oleh Bersih yang telah mengemukakan lapan (8) tuntutan bagi penambahbaikan proses pilihanraya di negara ini.

Sama ada tuntutan itu wajar ataupun sebaliknya, itu soal lain. Begitu juga sama ada kerajaan patut menerima atau sebaliknya, itu bukan isu di sini. Persoalannya ialah Bersih berhak mengemukakan tuntutan tersebut. Itu sistem demokrasi yang diamalkan.

Adakah Bersih pertubuhan haram? Bersih bukanlah sebuah pertubuhan yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS). Sebaliknya, ia adalah gabungan 62 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Secara bersama, mereka menamakan gabungan tersebut sebagai Bersih.

Kalau begitu, anda mungkin bertanya, apakah isunya sehingga semua pihak termasuklah Pak Pandir dan Mak Andeh pun riuh-rendah bercakap Bersih, Bersih, Bersih setiap hari? Aha, itu soalan yang betul. Biar saya jelaskan.

Pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan di Greece

Gabungan 62 buah pertubuhan bukan kerajaan yang menggelarkan diri mereka sebagai "Bersih" menyatakan secara terbuka mereka sedang melakukan mobilisasi untuk membawa penyokong-penyokong mereka turun melakukan demonstrasi di jalanan sebagai satu cara mengenegahkan tuntutan mereka. Inilah punca masalah.

Betul, rakyat mempunyai hak untuk berhimpun. Namun pada masa yang sama, undang-undang juga memberikan hak kepada kerajaan (khususnya polis dan PBT) untuk menentukan sama ada perhimpunan itu bakal menimbulkan masalah kepada rakyat yang lain. Dengan maklumat yang ada, polis memutuskan perarakan di jalan raya dalam bentuk sedemikian boleh menimbulkan masalah dan menjadi ancaman kepada keselamatan. Maka, polis tidak membenarkan. Bukan setakat ini, Bersih juga tidak memohon permit untuk aktiviti sedemikian, walaupun badan-badan gabungannya ke sana-sini mempromosikan perhimpunan jalanan tersebut.

Soal permit, bukan di Malaysia sahaja ada undang-undang sedemikian. Sesiapa saja yang hendak menganjurkan perarakan di Washington DC, termasuklah di hadapan The Capitol disyaratkan memohon permit dari polis Washington DC. Sesiapa yang melanggar undang-undang ini, disumbat ke dalam penjara. Negara berdaulat, ada undang-undang. Kalau tak suka undang-undang ini, buatlah pindaan di Parlimen. Selagi ada undang-undang, patuh.

Bagi menyekat aktiviti sedemikian yang melanggar undang-undang dan boleh memberikan kesan kepada keselamatan negara, maka polis menahan dan menyoal-siasat mereka yang mempromosikan perhimpunan jalanan tersebut. Sesiapa saja yang melakukan promosi itu dalam bentuk tulisan (brosur, banner), perkataan (ucapan) atau gambar/imej (baju, logo), disiasat oleh polis.

Apabila ada permintaan dari Bersih untuk mengadap Yang Dipertuan Agong, maka baginda membenarkan. Ini membuktikan betapa baginda adalah penaung untuk semua rakyat - tanpa mengira agama atau bangsa. Selepas menghadap Yang Dipertuan Agong, Bersih bersetuju menerima tawaran Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak untuk berkumpul di dalam stadium. Saya fikir tawaran itu adalah wajar kerana dengan cara ini penyokong Bersih dapat berkumpul (hak mereka) dan pada masa yang sama tidak menimbulkan masalah kepada orang lain.

Lebih mudah kawalan keselamatan dalam stadium

Bagaimanapun, Bersih masih perlu memenuhi beberapa peraturan sebelum ia dibenarkan berbuat demikian. Antaranya ialah salah satu badan gabungan Bersih hendaklah membuat permohonan kepada pemilik stadium untuk menggunakan sesebuah stadium itu. Saya sebutkan "salah satu badan gabungan" kerana Bersih sendiri bukanlah persatuan, maka hanya persatuan yang sah saja boleh membuat permohonan itu. Pemilik stadium kemudiannya membuat keputusan sama ada membenarkan ia digunakan bagi tujuan itu atau pun sebaliknya.

Kedua, persatuan itu juga hendaklah memohon permit polis bagi mengadakan perhimpunan sedemikian. Saya fikir ini sepatutnya tidak menjadi masalah dengan syarat stadium yang hendak digunakan sesuai dengan jumlah kehadiran yang dijangkakan. Saya difahamkan Bersih bercadang untuk membawa sekitar 80,000 orang penyokong ke perhimpunan itu. Sekiranya itulah jumlah, maka hanya ada dua saja stadium yang sesuai iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil, atau pun Stadium Shah Alam. Selain itu, saya tidak lihat ada stadium lain yang sesuai bagi menampung jumlah penyokong yang ramai dan kemudahan tempat meletak kereta yang mencukupi.

Maka, apabila kedua-dua perkara itu dilakukan, maka berhimpun dan bersyarahlah sepuas hati. Selagi apa yang disyarahkan itu tidak melanggar undang-undang negara, maka biarkanlah. Kalau ada yang bersifat hasutan atau boleh menimbulkan ancaman keselamatan, maka pihak berkuasa hendaklah bertindak tegas.

Saya sebutkan semua ini kerana saya pun pernah menganjurkan perhimpunan yang serupa. Dulu, Aman Malaysia menggabungkan lebih 2,000 buah pertubuhan bukan kerajaan mengadakan Perhimpunan Keamanan Rakyat Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil. Saya sebagai Setiausaha Agung, Majlis Belia Malaysia (MBM) adalah pemegang permit polis dan beberapa kali dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur untuk disoalsiasat sebelum polis mengeluarkan permit. Saya masih ingat lagi (bekas Penolong Setiausaha Agung Pemuda UMNO, Dato' Zulkifli Alwi boleh sahkan maklumat ini) betapa polis mengasak saya dengan pelbagai soalan.

Pada malam perhimpunan itu, Ketua Polis Kuala Lumpur (ketika itu), Dato' Dell Akhbar Khan memegang tangan saya dan berkata, "Kamu jangan lari ke mana-mana. Kalau jadi apa-apa pada malam ini, saya akan cari kamu!" Kecut perut saya ketika itu. Saya tidak ada niat untuk melakukan onar, namun saya tak mampu mengawal apa yang bakal dilakukan oleh penyokong perhimpunan ketika itu.

Alhamdulillah, walaupun bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan deretan pemimpin politik dan NGO berucap berapi-api mengutuk penjajahan di Iraq, suasana dalam stadium terkawal. Mereka menjerit dan melaungkan pelbagai slogan, namun mereka tidak membakar stadium atau menimbulkan kekacauan.

Apabila berakhir perhimpunan tersebut, saya dan Dato' Zulkifli Alwi terbaring kepenatan di tengah-tengah padang stadium. Kami mengesat peluh yang membasahi baju. Soal sama ada orang akan ingat dan menghargai perjuangan, kami tak peduli ketika itu. Apa yang penting ialah kami berjaya mengumpulkan lebih 250,000 orang di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menyampaikan mesej kepada dunia bahawa rakyat Malaysia cintakan keamanan.

Sebagai seorang yang telah melalui semua itu, saya faham keghairahan 80,000 penyokong Bersih untuk menyampaikan mesej yang sama. Nasihat saya ialah ikutilah undang-undang negara, bekerjasamalah dengan pihak polis dalam mengatur perhimpunan ini dan ikut arahan pihak berkuasa (termasuk PBT). Usah keras kepala dan merasakan diri mengatasi undang-undang.

Greece - apabila penunjuk perasaan gagal kawal emosi

Sekiranya Bersih ingin mengadakan perhimpunan di dalam stadium itu untuk bercakap mengenai tuntutannya, saya fikir ia boleh diraikan. Bagaimanapun, sekiranya kumpulan itu memberikan pelbagai arahan kepada penyokong-penyokong untuk berkumpul di luar stadium atau melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan ketegangan, maka saya fikir keselamatan dan ketenteraman rakyat perlu diutamakan.

Marilah kita rayakan demokrasi dengan cara yang membina dan bermanfaat!

Monday, May 23, 2011

NKRA, NAJIB & 1MALAYSIA

Daripada 554 orang responden yang mengambil bahagian dalam kajian atas talian (online survey) yang saya jalankan pada bulan April lalu mengenai persepsi terhadap Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), sebahagian besar responden (58.8%) berpuas hati dengan usaha kerajaan meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini, Bagaimanapun, tidak sampai separuh responden (39.9%) yang berpuas hati dengan usaha membanteras rasuah di negara ini. Ini bermaksud bahawa kerajaan bukan sahaja harus meningkatkan usaha membanteras rasuah, tetapi juga mendidik masyarakat mengenai tindakan yang telah dilakukannya.

Dalam kajian ini juga saya bertanya mengenai kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak. Seramai 64.1% responden menyatakan keadaan negara menjadi bertambah baik sejak beliau mengambilalih kepimpinan negara kira-kira dua tahun lalu. Ini mungkin boleh ditafsirkan sebagai pengiktirafan rakyat kepada Najib yang dilihat bekerja keras.

Sementara 75.1% menyokong konsep "1Malaysia", sekitar 56.1% sahaja berpuashati dengan Najib dalam soal pengurusan ekonomi negara. Peratusan yang agak rendah dalam soal ini mungkin berpunca dari tekanan yang dihadapi oleh rakyat berikutan kenaikan kos sara hidup. Mengambilkira dapatan ini, sementara saya menyokong rasionalisasi subsidi, saya fikir ia perlu ditangguhkan sehingga krisis makanan global berakhir agar ia tidak memberikan impak negatif yang besar kepada rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah.

Sama seperti kajian atas talian terdahulu yang saya lakukan menggunakan "convenient sampling", sebahagian besar responden kajian ini adalah berbangsa Melayu (92.2%) dan lelaki (77.95%). Dari segi tahap pendidikan, umur dan pendapatan, ia mewakili penduduk di negara ini.

Walaupun dapatan ini tidak boleh digunakan untuk "generalize" pendapat rakyat Malaysia, paling kurang ia boleh digunakan bagi mengetahui persepsi sejumlah lebih 500 responden, sebahagian besarnya Melayu dan lelaki dalam soal NKRA, kepimpinan Najib dan 1Malaysia.

* * * * *

Saya telah membuat kajian menggunakan instrumen yang sama kepada lebih 1,600 responden secara "stratified random sampling" di kawasan DUN Batu Caves, Seri Setia, Sungai Pelek, dan Dengkil. Peratus sokongan responden kepada kepimpinan Najib, 1Malaysia, dan enam bidang NKRA adalah jauh lebih tinggi, berbanding responden kajian atas talian. Saya rumuskan bahawa responden kajian atas talian lebih kritikal berbanding dengan responden bersemuka!

Tuesday, May 17, 2011

LIMA TIPS BERPOLITIK DI MEDIA SOSIAL

Sejak kebelakangan ini saya dapati aktivis kedua-dua belah pagar politik banyak menggunakan media sosial, secara khususnya Facebook dan Twitter, untuk berinteraksi dengan pengundi. Saya fikir ini adalah sesuatu yang baik dan harus digalakkan.

Media sosial telah memberikan peluang untuk pengundi berinteraksi dengan aktivis politik, merentasi parti. Ledakan internet menyumbang kepada perkembangan ini. Pada tahun 2000, terdapat hanya 3.7 juta pengguna internet di negara ini. Dasar kerajaan dalam ICT telah mencetuskan sejumlah 18 juta pengguna dalam tempoh sekitar 10 tahun selepas itu.

Seringkali, saya diminta untuk memberikan ceramah dan memberikan tips bagaimanakah media sosial ini boleh dimanfaatkan secara optimum. Di sini, saya kongsi panduan yang boleh digunakan oleh aktivis politik.

1. Pelihara reputasi

Gunakan Google Alert untuk memantau reputasi anda di internet. Selain itu, Social Mention juga boleh membantu. Sekiranya ada usaha merosakkan reputasi anda, ambil tindakan segera, berkomunikasi dengan pihak terbabit. Selain itu, pantau juga reputasi anda di Facebook dan Twitter dengan membuat carian di kedua-dua laman tersebut dari semasa ke semasa.

2. Jadi wartawan

Laporkan aktiviti politik anda agar ia diketahui oleh rakan media sosial anda. Beberapa kajian menunjukkan orang lebih percaya apa yang sahabat beritahu, berbanding dengan iklan. Ambil gambar, upload dalam Facebook dan Twitter. Mudah dan murah.

3. Sebarkan apa yang anda suka di media sosial

Katakan anda penyokong BN, elok retweet (RT) apa yang Perdana Menteri atau pemimpin parti tulis. Bukan semua orang "follow" Perdana Menteri di Twitter. Anda boleh bantu sebarkan. Begitu juga, kongsi link artikel atau video menarik di Facebook.  Kesan viral menjadikan media sosial lebih berkuasa berbanding akhbar atau tv.

4. Fakta bukan auta

Dalam media sosial, fakta lebih meyakinkan. Auta dapat bertahan seketika sebelum orang lain mempertikaikannya. Selepas berkali-kali auta (bohong), orang hilang kepercayaan kepada maklumat yang anda berikan.

5. Usah bergaduh di media sosial

Sekiranya ada orang bertanya sesuatu, maka jawablah dengan baik. Kalau ada fakta yang salah, betulkan. Bagaimanapun, apabila seseorang mula menyerang anda (bukan lagi kepada isu), maka langkah yang terbaik ialah abaikan. Biarlah dia syok sendiri.

Selamat berinteraksi di media sosial. Dan, selamat bersedia menghadapi PRU13!

Penulis sedia berkongsi tips penggunaan media sosial untuk organisasi kerajaan dan NGO. Beliau boleh dihubungi di nobisha@yahoo.com

Tuesday, May 10, 2011

SETAKAT MANA PELUANG BN DI SELANGOR?

Najib Tun Razak
Minggu lepas, Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak meminta pemimpin, ahli-ahli dan penyokong Barisan Nasional membantu memenangkan parti itu dalam PRU13. Maka, beberapa orang pemimpin politik pembangkang melompat dengan kenyataan tersebut dan cuba menggambarkan Najib mengarahkan BN untuk menang dengan cara yang tidak sah. Saya sebutkan "beberapa orang" kerana jumlahnya terlalu kecil. Sebahagian besar, termasuklah beberapa orang pemimpin pembangkang yang sering berhubung dengan saya menyatakan bahawa harapan Najib itu bukanlah di luar jangkauan (it is not out of reach).

Banyak isu antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat Selangor kini bagaikan api dalam sekam dan belum diselesaikan. Selain itu, Pakatan Rakyat Selangor yang kini diterajui oleh PKR dan didominasikan oleh DAP akan dinilai bukan sebagai pembangkang (seperti pilihanraya lepas) tetapi sebagai kerajaan. Sementara, pada masa yang sama saya lihat BN Selangor sudah mula menyusun strategi dan membina kekuatan baru - sesuatu yang hilang beberapa tahun selepas kehilangan negeri itu dalam pilihanraya umum lepas.

Pada masa ini saya tidak berhajat untuk mengulas isu-isu yang saya sebutkan di atas secara terperinci. Masa untuk kita mengadakan pilihanraya umum masih jauh. Paling kurang, satu tahun dari sekarang. Apabila tiba masanya, nanti saya huraikan secara terperinci.

Adakah BN sudah terlalu kuat untuk mengambilalih Selangor? Belum.

Adakah Pakatan Rakyat menjadi semakin kuat untuk mempertahankan Selangor? Tidak.

Setakat manakah peluang BN untuk menang di Selangor? Wah, ini soalan cepumas. Beginilah. Biar saya katakan bahawa 11 kerusi Parlimen dan 31 kerusi DUN adalah dalam jangkauan (within reach).

Tak setuju? Tak mengapalah. Saya faham kadang-kadang warna politik menggagalkan kita untuk melihat warna-warna pelangi yang ada di hati rakyat.

Sewaktu pilihanraya negeri Sarawak dulu, saya ramalkan BN tewas 13 kerusi.

Rupa-rupanya, BN tewas 16 kerusi.

Ramalan saya tak tepat, tetapi salah pun tak jauh sangat!

Thursday, April 28, 2011

AMARAN LEE KUAN YEW



Hak asasi, termasuklah kebebasan bersuara tidak sesuai di negara ini. Sekiranya pembangkang mendapat undi yang banyak, ia akan menjejaskan ekonomi negara. Usah rosakkan asas negara ini. Ingat bagaimana kerajaan telah bersusah payah untuk kita sampai ke tahap yang ada sekarang. Usah jejaskan aset, nilai hartanah dan peluang pekerjaan anda!

Fakta? Ya.

Ancaman? Ya.

Kempen Barisan Nasional? Tidak.

Ministers are unapologetic about constraints on civil liberties, warning that western-style multi-party democracy and freedom of speech are inappropriate for multiracial Singapore, which suffered inter-ethnic riots in the 1960s.
Lee Kuan Yew, Singapore’s first prime minister and the father of the present head of government, warned this week that a strong vote for the opposition could endanger the economic gains that have given the country western levels of income.
"Do not rock this foundation. Remember where Singapore came from and how difficult it was that we have got to where we are,” Mr Lee said. "In the heat and dust of this election, do not risk your assets, property values, job opportunities."

Klik di sini untuk membaca sepenuhnya.

Wednesday, April 27, 2011

10 AHLI PARLIMEN TERATAS (TOP 10) DI TWITTER

Senarai 10 Ahli Parlimen teratas, berdasarkan "followers" di Twitter:

1. Perdana Menteri & Ahli Parlimen Pekan (UMNO): Dato' Seri Najib Tun Razak (113,905)

2. Ketua Pembangkang & Ahli Parlimen Permatang Pauh (PKR): Dato' Seri Anwar Ibrahim (58,078)

3. Ahli Parlimen Rembau (UMNO): Khairy Jamaluddin (37,340)

4. Ahli Parlimen Ipoh Timur (DAP): Lim Kit Siang (28,845)

5. Ahli Parlimen Jerlun (UMNO): Dato' Mukhriz Mahathir (23,418)

6. Ahli Parlimen Lembah Pantai (PKR): Nurul Izzah Anwar (19,684)

7. Ahli Parlimen Gombak (PKR): Azmin Ali (18,248)

8. Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara (DAP): Tony Pua (16,515)

9. Ahli Parlimen Batu (PKR): Tian Chua (15,679)

10. Ahli Parlimen Bagan (DAP): Lim Guan Eng (15,016)

* "Followers" sehingga 27 April 2011.

PKR menguasai 10 Tangga Teratas (Top 10) Ahli Parlimen Malaysia di Twitter dengan empat orang Ahli Parlimen (Anwar, dan anaknya Nurul Izzah, Azmin dan Tian Chua), manakala UMNO (Najib, Khairy dan Mukhriz) dan DAP (Tony Pua, Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng) masing-masing berkongsi tiga orang Ahli Parlimen.

Ahli-ahli Parlimen PAS, MCA, Gerakan dan MIC tidak mampu mencapai kedudukan 10 tangga teratas.

Presiden Parti KITA, Dato' Zaid Ibrahim mempunyai 18,779 followers, manakala Presiden MCA, Dato' Seri Dr Chua Soi Lek, 5,707.

Oh ya, sekadar perbandingan, Lisa Surihani mempunyai 119,338 "followers" di Twitter!